Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)
memperuntukkan sehingga RM650 juta untuk membina antara 5,000 dan 10,000
buah rumah mampu milik dalam tiga variasi baharu mulai tahun depan.
Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, tiga
variasi itu, akan diberi subsidi antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi
membolehkan rakyat negara ini memiliki rumah.
Katanya, bagi rumah berharga RM65,000 kerajaan akan memberi subsidi
sebanyak RM20,000, rumah berharga RM55,000 akan mendapat subsidi
RM17,500 manakala rumah berharga RM45,000 akan memperoleh subsidi
sebanyak RM15,000.
''Pada masa kini SPNB menyediakan 54 reka bentuk yang boleh dipilih
oleh pembeli mengikut cita rasa mereka," katanya dalam sidang akhbar di
pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan
Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah semalam bahawa kerajaan akan
menyediakan subsidi antara RM15,000 dan RM20,000 bagi membolehkan rakyat
membeli rumah mampu milik.
SPNB akan membina tiga jenis rumah mampu milik dengan tiga bilik
tidur berharga RM65,000, RM55,000 dan RM45,000 dan Bajet 2014 yang bakal
dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober disifatkan sebagai bajet
'mesra rakyat' yang memberikan tumpuan kepada mengadakan kediaman mampu
milik dan membangunkan infrastruktur.
''Melalui variasi baharu ini, pembeli boleh menduduki rumah mereka
dalam tempoh lima bulan setelah mereka memeterai perjanjian dengan SPNB
berbanding tempoh setahun sekarang.
''Kami yakin dapat menawarkan jawapan kepada masalah perumahan rakyat yang dihadapi sekarang," katanya.
Kamarul Rashdan berkata, bagi memudah dan mempercepatkan proses
pembiayaan, empat bank telah bersetuju membantu membiayai pembelian
rumah itu.
Katanya, bank berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
''Di bawah Skim Al-Qardhul Hassan pembeli rumah mungkin hanya
membayar RM270 sebulan selama 20 tahun bagi rumah yang berharga
RM65,000," katanya.
Ditanya tentang syarat mendapat subsidi berkenaan, beliau berkata,
pendapatan isi rumah pemohon mestilah di bawah RM3,000 dan mereka perlu
memiliki tanah untuk dibina rumah tersebut dan belum pernah memiliki
rumah sebelum ini.
Beliau berkata, rumah berkenaan akan dibina menggunakan Industrial Building System (IBS) supaya pembinaan rumah tersebut dapat disiapkan dalam masa yang lebih cepat lagi.
''Bagi memastikan rumah yang dibina ini tidak mudah bertukar tangan,
kita akan mengenakan moratorium tertentu seperti tempoh lima tahun
sebelum ia dijual kepada orang lain," katanya.
Sambil menyatakan pihaknya menerima 8,000 permohonan untuk membina
rumah berkenaan setahun, Kamarul Rashdan berkata, kepada sesiapa yang
ingin membina rumah mampu milik variasi baharu, permohonan sedang dibuka
untuk membolehkan pembinaan dapat dilakukan tahun depan.
''Setiap tahun ini, kita menganggarkan permohonan untuk membina rumah
adalah dalam jumlah yang sama setiap tahun dan melalui mekanisme baharu
ini masalah perumahan rakyat akan dapat diatasi," katanya.
No comments:
Post a Comment