Amalan taqiyyah dalam Syiah menjadi punca proses mengenali dan mengesan pengikut ajaran sesat itu sukar dilakukan.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, amalan taqiyyah
atau dalam bahasa mudahnya penipuan, merupakan salah satu ajaran Syiah
bagi menyembunyikan akidah mereka apabila berhadapan dengan orang ramai.
Beliau sehubungan itu mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada
mengenai amalan pengikut Syiah itu bagi mengelak mereka turut
terpengaruh dengan ajaran berkenaan.
"Umat Islam juga perlu memperkukuhkan ilmu terhadap pegangan Ahli
Sunnah Wal Jamaah supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat
Syiah," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Syiah dan Kesesatannya
anjuran Pertubuhan Jaringan Ummah Kelantan (Jarum) dan Pusat Islam
Kampus Kesihatan USM di Dewan Utama kampus itu di sini semalam.
Seminar itu dihadiri seramai 700 peserta.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Shukri memberitahu, pewartaan
pengharaman ajaran Syiah di negeri ini sebenarnya sudah dilaksanakan
sejak 1995 lagi dan yang belum hanyalah proses kemaskini iaitu
penambahan perkataan baru untuk dimasukkan.
"Fatwa yang mengatakan ajaran Syiah itu sesat sudah kita wartakan
dalam enakmen sejak 1995 supaya ia boleh diguna pakai di mahkamah.
"Cuma sekarang kita mengangkat cadangan kepada Penasihat
Undang-undang negeri untuk memasukkan beberapa perkataan baru, contohnya
jika dahulu kita menyebut penyebaran buku sahaja tetapi kini kita
masukkan cakera padat video (VCD) juga salah satu medium penyebaran
Syiah," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pusat Islam Kampus Kesihatan USM,
Dr. Wan Nudri Wan Daud berkata, belum ada sebarang kes penyebaran
fahaman Syiah dikesan di Kampus Kesihatan USM itu, namun pemantauan
berterusan tetap dibuat dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa dalam keadaan berhati-hati kerana
kampus universiti itu turut menerima kehadiran pelajar luar negara
khususnya dari rantau Arab dan negara Iran yang menuntut di situ.
Antara kaedah digunakan, kata beliau, menerusi program Rakan Masjid
di mana pelajar sendiri menjadi mata dan telinga pihak universiti
mengesan sebarang penyelewengan amal ibadat yang berlaku di asrama dan
lain-lain tempat di kampus.
No comments:
Post a Comment