Proses pemilihan bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK)
Cabang Sungai Petani sekali lagi kecoh apabila salah seorang calon bagi
jawatan itu meminta proses pemilihan yang berlangsung hari ini
dibatalkan.
Calon tersebut, Mohd. Sharmizi Nizam Abdul Rahim berkata, dia tidak
berpuas hati dengan proses pemilihan jawatan itu hari ini kerana
Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak memaklumkan kepadanya bahawa
dia layak untuk bertanding bagi jawatan tersebut walaupun sebelum ini
dikatakan sebaliknya.
"Sebelum ini, pada 3 Mei lalu ketika proses pemilihan berlangsung di
Taman Sri Wang, saya dimaklumkan bahawa saya tidak layak bertanding
kerana masalah teknikal dan saya terima keputusan tersebut.
"Saya juga telah menghantar bantahan kepada JPP berhubung penolakan
pencalonan saya pada pemilihan 3 Mei lalu namun tiada apa-apa jawapan
daripada mereka.
Bekas Timbalan Ketua PKR Cabang Sungai Petani, Ishak Man (tengah), Mohd.
Sharmizi Nizam Abdul Rahim (kanan) dan bekas Ketua Penerangan AMK
Kedah, Mohd. Zaidi Osman menunjukkan borang bantahan bagi proses
pemilihan Ketua AMK di Dewan Serbaguna Taman Sejati Indah, Sungai
Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI
"Tiba-tiba hari ini nama saya layak untuk bertanding tanpa
pengetahuan saya dan saya tuntut proses pemilihan hari ini dibatalkan
serta diadakan semula," katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna di
Taman Sejati Indah di sini hari ini.
Pada 3 Mei lalu, proses pemilihan Ketua AMK Cabang Sungai Petani yang
berlangsung di Taman Seri Wang ditangguhkan dan dilakukan semula hari
ini di Dewan Serbaguna Taman Sejati Indah di sini kerana seorang calon
S. Arvind Kumar mengemukakan bantahan.
Bantahan itu kerana Arvind Kumar mendakwa dia hanya mengetahui
namanya tiada di dalam kertas undi bagi jawatan Ketua AMK Cabang Sungai
Petani kira-kira pukul 11 pagi apabila tiba di pusat pengundian di Dewan
Orang Ramai, Taman Sri Wang di sini.
Dalam pemilihan hari ini tiga calon layak bertanding iaitu Simon Ooi, S. Arvind Kumar dan Mohd. Sharmizi.
Menurut Mohd. Sharmizi, selepas namanya dikatakan tidak layak untuk
bertanding kerana masalah teknikal dia telah membantu kempen seorang
calon lain iaitu Arvind Kumar.
"Saya langsung tidak berkempen untuk diri sendiri bagi merebut
jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani ini sebab saya tidak fikir saya
akan bertanding semula hari ini.
"Saya hanya mengetahui pagi ini melalui seorang rakan bahawa nama saya ada di dalam kertas undi.
"Saya sangat kecewa dengan proses pemilihan hari ini dan tidak akan
mengiktiraf Ketua AMK Cabang Sungai Petani jika JPP tidak menangguhkan
proses pemilihan ini," tegasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengawas Pemilih Sungai Petani, Zainal Abidin
Samat berkata, dia akan mengemukakan bantahan yang dibuat oleh Mohd.
Sharmizi itu kepada JPP.
"Proses pemilihan yang berlangsung hari ini diteruskan kerana saya
tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan proses ini kerana ia tertakluk
di bawah bidang kuasa JPP," jelasnya.
Sementara itu, proses pengundian bagi jawatan Ketua AMK Cabang Sungai
Petani yang bermula pukul 10 pagi ditutup kira-kira pukul 5 petang ini.
Jumlah pengundi yang keluar mengundi untuk memilih jawatan itu ialah
62 orang dan Simon Ooi mendapat 52 undi manakala Arvind Kumar pula tujuh
undi.
Simon ketika ditemui berkata, kekecohan yang ditimbulkan oleh Mohd.
Sharmizi tidak sepatutnya berlaku kerana JPP telah mengumumkan mengenai
pemilihan semula yang akan dijalankan hari ini.
No comments:
Post a Comment