Kata Kian Ming, kira-kira 7,828 individu yang merupakan rakyat Malaysia telah melucutkan kerak­yatan mereka untuk menjadi warga negara Singapura sejak kebelakangan ini.

Dia mendakwa, jumlah terbesar bekas warganegara Malaysia dalam lingkungan umur 30 hingga 50 tahun itu ialah 36.6 peratus dari Johor, diikuti 19.5 peratus (Perak), Selangor (9.4 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6.7 peratus), Melaka (5.6 peratus), Pulau Pinang (5.4 peratus) dan Ne­geri Sembilan (5.3 peratus).



Majoriti daripada individu berkenaan adalah kaum Cina. Kian Ming menyifatkan insiden itu sebagai ‘menyedihkan’.
Namun, bagi kita, tiada apa yang perlu disedihkan, walaupun Ahli Parlimen DAP itu menyifatkan ia ‘suatu kehilangan tenaga berkemahiran tinggi dan profesional’.

Dalam keadaan ekonomi sekarang dengan harga minyak dan nilai matawang menyusut teruk, memang sukar menjalani kehidupan kalau ‘seseorang itu memang sudah senang’ sebelumnya. Tetapi tidaklah sehingga ke tahap melepaskan taraf warganegara.

Cuma yang kita cukup sedih ialah apabila alasan mereka ini melucutkan kewarganegaraan Malaysia untuk menjadi warga Singapura, seperti didakwa Kian Ming, kerana menganggap republik itu negara yang lebih menguntungkan.
Biarkanlah mereka ini pergi. Masih ramai lagi profesional kita dalam kalangan 30 juta rakyat Malaysia ini yang komited dan mahu menyumbang tenaga kepada negara tercinta ini.

Apabila terbaca pendedahan Kian Ming ini semalam, lantas penulis teringat kepada rakan Kian Ming iaitu Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik pada tahun lepas yang terhegeh-hegeh mendakwa diri sebagai ‘pejuang’ dengan mendakwa kononnya sebanyak 1,000 pemegang pasport Kerakyatan Luar Negara British (BOC) telah diterima pulang oleh kerajaan Malaysia.

Isu pemegang pasport BOC itu timbul apabila United Kingdom (UK) meminda undang-undang kerakyatannya apabila negara tersebut tidak lagi mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan untuk pemegang pasport BOC yang melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraan Malaysia selepas 4 Julai 2002.

Pemegang pasport BOC ini dulunya sanggup mengerat pasport Malaysia seperti dilaporkan oleh The Telegraph – prosedur stan­dard apabila seseorang melepaskan kerakyatan mereka.

Namun, kita menarik nafas lega dan bersyukur kerana Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyangkal keras dakwaan Wei Aik itu.

Tegas Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri, pemegang pasport BOC yang melepaskan kewarganegaraan Malaysia tidak akan memperoleh semula kerakyatan mereka secara automatik sebaliknya perlu me­lakukan permohonan seperti warga asing lain.

Taraf kewarganegaraan itu, kata beliau lagi, tidak akan diberikan secara mudah kerana terdapat individu yang mengoyakkan pasport Malaysia atas rasa benci malahan ada ‘menikam’ Malaysia setelah mereka menolak kerakyatan negara ini.

Golongan yang melepaskan taraf kerakyatan biasanya perlu menunggu selama 17 tahun selain lulus dalam ujian kemahiran Bahasa Melayu jika mahu mendapat semula identiti sebagai rakyat negara ini.

Kepada 7,828 orang tadi yang didedahkan oleh Kian Ming, mereka harus ingat satu perkara ini – rakyat Malaysia yang telah melucutkan kewarganegaraan tidak akan mudah mendapat kembali taraf kewarganegaraan itu. Ini selaras dengan Peraturan 16A, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Bagi mereka ini, ‘tiada maaf bagimu,’ kecuali mengikut Peraturan 16A sebagaimana yang ada dalam Peraturan Imigresen 1963.
Mungkin Kian Ming ‘perlu belajar’ sesuatu dari Wei Aik untuk menguruskan ‘pelaku-pelaku’ pelucut taraf kewarganegaraan Malaysia ini.