PUTRAJAYA - Ansuran bayaran bulanan
pinjaman perumahan Rumah Bina Negara (BN) yang dibangunkan untuk belia
luar bandar tidak akan melebihi RM250, kata Menteri Pembangunan Luar
Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata kadar ansuran perlu rendah kerana golongan belia di luar bandar kebanyakannya bekerja sendiri.
“Kalau ansuran berjumlah RM300 atau
RM400, golongan belia di luar bandar akan sukar mendapatkan pinjaman
perumahan,” katanya kepada pemberita pada majlis perhimpunan bulanan
kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata keutamaan untuk memiliki
Rumah BN itu diberikan kepada anak pekebun kecil yang berdaftar dengan
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta
anak peserta Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (Felcra).
Sebanyak 4,000 unit Rumah BN iaitu 2,000 untuk Risda dan 2,000 untuk Felcra akan dibina mulai tahun ini, katanya.
Pembinaan Rumah BN merupakan satu
daripada enam fokus utama pembangunan luar bandar yang dibincangkan
dalam mesyuarat Hala Tuju dan Aspirasi.
Kementerian Pembangunan Luar
Bandar dan Wilayah yang berlangsung pada 23-25 Januari lepas.
Dalam ucapannya dalam perhimpunan
bulanan tersebut, Ismail Sabri berkata harga jualan Rumah BN perlu
ditetapkan dalam lingkungan RM50,000 hingga RM80,000 seunit.
Dua model Rumah BN sudah dikenal
pasti iaitu rumah teres yang dibina secara asas dan rumah yang berjubin
dan memiliki sedikit aksesori.
“Pembeli boleh membuat pilihan
bergantung kepada kemampuan mereka. Hanya belia yang bekerja di luar
bandar yang (boleh) membeli rumah berkenaan. Belia yang bekerja di
bandar dan ingin membeli rumah berkenaan untuk disewa tidak akan
dibenarkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment