Jumlah Pengunjung

Friday 26 August 2016

LIWAT PELAJAR FITNAH JATUHKAN MARUAH USTAZ KAZIM!!!



IPOH – Pendakwah yang juga pemilik Maahad Tahfiz Darul Barakah, Datuk Kazim Elias, akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung isu pencabulan seksual yang didakwa berlaku melibatkan pelajarnya.

Tegasnya, beliau sedia menyerahkan kepada pihak berkuasa sesiapa sahaja yang terlibat, termasuk darah dagingnya sendiri, jika benar kejadian seperti dakwaan ibubapa pelajar itu.

“Kami berikrar untuk tidak berkompromi dalam apa jua, sekiranya benar insiden berkenaan berlaku.

“Kami akan menyerahkan siapa jua, sekiranya berlaku, pihak yang terlibat kepada pihak berkuasa, mengikut lunas negara, walaupun beliau adalah darah daging saya sendiri.

“Tanggungjawab kami sebagai seorang Muslim dan seorang warganegara Malaysia yang baik,” katanya yang lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Kazim, pada satu sidang media di sekolah tahfiz tersebut hari ini.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menafikan wujud kejadian liwat seperti didakwa itu di maahad tahfiz tersebut dan melibatkan seorang bekas pelajarnya.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kejadian liwat tersebut tidak berlaku sama sekali sepertimana yang didakwa pada peringkat awalnya.

“Dan saya menegaskan bahawa, bila siasatan dalaman kita buat, tidak berlaku kes liwat. Aduan yang datang kepada saya adalah, aduan kononnya anaknya diliwat. Dan bila kita buat siasatan, tidak berlaku seperti didakwa,” jelasnya.

Pada masa sama, Ustaz Kazim menegaskan, beliau tidak pernah melakukan ugutan terhadap bapa mangsa dengan mengatakan bahawa beliau dilindungi individu dikenali.

“Saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa perkataan yang didakwa konon ada ugutan daripada saya kepada bapa mangsa. Ini merupakan satu fitnah.

“Dan saya tidak pernah katakan bahawa jangan main-main dengan saya, ada orang besar di belakang saya. Ini adalah fitnah yang sangat besar yang dilontarkan kepada saya,” kata beliau lagi.

Selain itu, beliau menjelaskan, bekas pelajar yang membuat aduan berkenaan tidak pernah dibuang sekolah, sebaliknya berhenti dari maahad tahfiz berkenaan atas pilihan ibu bapanya.

“Pelajar tersebut yang kononnya diganggu, diseksa dan sebagainya, tidak pernah dibuang daripada sekolah.

“Sebaliknya, beliau berhenti daripada sekolah kami atas pilihan ibu bapanya sendiri, dan tidak langsung dia sebut dia dicabul dan sebagainya,” kata Ustaz Kazim.

Malah, tegasnya, beliau dan pihak sekolah mempunyai bukti yang kukuh bagi menyangkal tuduhan jenayah.

“Jika ada yang mengatakan bahawa anaknya dibuang selepas dicabul, ini adalah fitnah. Dan beliau berhenti atas kehendak ibu bapanya sendiri. Kami mempunyai dokumen-dokumen yang berpaksikan kepada saksi,” ujarnya. – Awani

1 comment:

  1. Allah saksi, malaikat saksi. Manusia boleh berbohong. Ustaz pun.

    ReplyDelete

Member BSK