Jumlah Pengunjung

Tuesday 30 July 2013

CHEGUBARD MAKIN BIADAP DALAM MAHKAMAH ???




Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Chegubard dan 32 individu lain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merusuh dan menyertai perhimpunan haram di jalan masuk bangunan Parlimen, bulan lalu.

Kesemua tertuduh termasuk tiga wanita mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin, 35 yang juga pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) didakwa bersama-sama aktivis propembangkang, Adam Adli Abdul Halim, 25; Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang, 24; Sekretariat SMM, Ekhsan Bukharee Badarul, 22, serta 13 individu lain.

Mereka didakwa atas dua pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 143 kanun sama atas dakwaan menyertai perhimpunan haram.

Tertuduh didakwa telah melakukan rusuhan di Jalan Parlimen kira-kira pukul 11.25 pagi, 24 Jun lalu dan seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan perhimpunan itu ialah untuk melakukan mudarat awam di tempat sama, antara pukul 9.15 pagi dan 11.25 pagi, tarikh yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, 16 lagi individu turut didakwa atas tuduhan sama mengikut Seksyen 143 kanun berkenaan di mahkamah tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh mencadangkan ikat jamin RM10,000 setiap seorang tertuduh dengan alasan mereka telah menyebabkan kesusahan kepada orang awam.

Katanya, jika jumlah jaminan kurang daripada jumlah tersebut dikhuatiri semua tertuduh tidak mengambil serius pertuduhan tersebut.
Sebaik sahaja mendengar jumlah jaminan yang dicadangkan itu, sebahagian penyokong kumpulan itu yang memenuhi galeri awam mula membuat bising namun berjaya ditenangkan oleh rakan yang lain.

Peguam, Eric Paulsen memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan alasan jumlah tersebut terlalu tinggi kerana 11 daripada tertuduh termasuk dua warga emas adalah peniaga kecil manakala 11 lagi pekerja swasta, sembilan yang lain pula adalah pelajar dan dua lagi adalah suri rumah.

"Mereka tidak mampu untuk membayar jumlah yang tinggi, jika dapat dikurangkan kepada RM1,000 pun mereka terpaksa meminjam lagipun hari ini adalah bulan puasa, bulan yang baik justeru kami harap mahkamah dapat mengurangkan jumlah jaminan itu," katanya.

Mat Ghani membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Mendengar jumlah jaminan yang diputuskan, para penyokong kumpulan itu sekali lagi membuat bising dan melaungkan takbir semasa prosiding masih berlangsung.

Dalam pada itu, para tertuduh turut diwakili peguam, Mohd. Razlan Jalaluddin dan PG Cyril.
Sebelum itu, ketika menunggu kes tersebut didaftarkan di kaunter pendaftaran Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, kumpulan terbabit turut membuat bising di lobi kompleks itu dengan berteriak sesama mereka dan menyanyi.

Memetik laporan akhbar, pada 24 Jun lalu, kumpulan penyokong parti pembangkang telah merusuh dan merempuh masuk ke bangunan Parlimen ketika majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat sedang berlangsung.







No comments:

Post a Comment

Member BSK