Rasa tidak puas hati mereka itu disuarakan dalam demonstrasi aman di Pusat Komersial Permatang Pauh, di sini petang ini yang turut mempertikai pencalonan semula Wan Azizah selepas melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen di kerusi berkenaan pada 2008.

Presiden Penaja SAUK, Mazli Saring berkata, ahli-ahli pertubuhan itu belum melupakan alasan Wan Azizah lima tahun lalu yang melepaskan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga terutama cucu-cucu beliau.



“Saya antara orang yang bekerja kuat demi memastikan Penasihat Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dalam PRK pada 2008 selepas Kerusi Parlimen Permatang Pauh dikosongkan isterinya, Wan Azizah.

“Jadi kenapa sekarang setelah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Wan Azizah dicalonkan semula sedangkan ramai ahli parti tidak bersetuju dengan pencalonan beliau ini,” katanya kepada pemberita selepas bantahan aman itu.
Mazli yang juga ahli PKR Cabang Kuala Selangor menambah, dalam keadaan sekarang Wan Azizah sepatutnya memainkan peranan sebagai Presiden parti demi memperbetulkan segala kepincangan dalaman.

“Adakah cabang parti di Permatang Pauh ketika ini tidak mempunyai seorang pemimpin yang layak sehingga Presiden parti sendiri terpaksa bertanding?
“Kita bertindak bukan untuk menjatuhkan parti sebaliknya membawa suara-suara ahli akar umbi bagi memberi isyarat kepada pucuk pimpinan agar tidak mengambil pendekatan salah yang akhirnya memberi kesan buruk pada parti,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Penaja SAUK, Nasiruddin Mohammad menegaskan, PKR sebenarnya berhadapan dengan pelbagai masalah dalaman yang sehingga kini tidak diselesaikan.

“Baru-baru ini kita bertemu dengan masalah wujudnya ahli parti yang bukan warganegara. Bagaimana keahlian boleh diberi kepada mereka yang hanya memiliki taraf penduduk.

“Selain itu, masalah lain yang sehingga kini gagal diatasi pucuk pimpinan adalah seperti pemilihan parti yang secara tidak langsung telah memburukkan imej PKR di mata rakyat,” ujarnya.

Tegasnya, SAUK akan turun padang bertemu ahli PKR di Permatang Pauh bagi meningkat kese­daran mereka terhadap pendekatan tidak wajar yang diambil pucuk pimpinan parti sekali gus menolak Wan Azizah sebagai calon.