Pelumba berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin yakin menakluki pusingan
kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia di Litar Sepang pada 10 dan
11 Nov ini.
Ahmad Fuad yang melaungkan keyakinan itu dalam usaha meraih gelaran
ketiganya pada perlumbaan tersebut, kini berada pada tangga kedua
keseluruhan bagi kategori CP130, ketinggalan 14 mata daripada pendahulu
keseluruhan, Azlan Shah Kamaruzaman daripada Harian Metro Y-TEQ SCK
Honda Racing.
"Saya tidak tertekan walaupun saingan CP130 semakin menuju ke
kemuncaknya. Sebaliknya situasi Azlan sebagai pendahulu yang saya rasa
lebih tertekan.
"Saya akan gunakan kelemahan ini bagi memaksa dia (Azlan) melakukan
lebih banyak kesilapan apabila bersaing di litar paling panjang dalam
kalendar Cub Prix tahun ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat lapan pusingan, kedua-dua pelumba berkenaan telah meraih satu
gelaran juara yang mana Azlan Shah berjaya meraih lima podium
keseluruhan berbanding hanya empat kali bagi Ahmad Fuad.
Ahmad Fuad berkata bagi memastikan kesemua misinya tercapai, beliau
turut menyasarkan pasukannya dapat merangkul Anugerah Berpasukan
Keseluruhan bagi saingan musim ini.
"Sebagai pasukan baru dan tanpa mana-mana sokongan kilang
pengeluar...dapat menjadi pasukan terbaik mungkin sesuatu yang agak
menakjubkan.
"Kami hanya ketinggalan satu mata kepada pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK
Honda Racing 2. Jika bukan kerana masalah teknikal jentera rakan
sepasukan saya, Ahmad Fazrul Sham di Melaka, kami sudah memimpin carta
ketika ini," katanya.
No comments:
Post a Comment