Jumlah Pengunjung

Sunday, 26 July 2015

KETAHUI PERTANDINGAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU !!!



AM
  1. Peraturan ini diterima pakai untuk ‘Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015’.
  2. Tafsiran peraturan ini adalah hak mutlak Jawatankuasa Teknikal yang dilantik oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT). Keputusan Jawatankuasa Teknikal Pertandingan adalah muktamad.
  3. Jawatankuasa Teknikal Pertandingan mempunyai hak untuk meminda sebarang peraturan sebelum permulaan pertandingan sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Jawatankuasa.
  4. Pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori: Kategori Alam Melayu, Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (selepas ini akan dikenali sebagai PAM) dan Kategori Antarabangsa. 

TAFSIRAN

  1. ‘Bahasa Ibunda’ bermaksud bahasa pertama yang dipelajari oleh seorang manusia, iaitu bahasa ibundanya. Dia dipanggil penutur asli bahasa ini.
  2. ‘JPT’ bermaksud Jabatan Pendidikan Tinggi.
  3. ‘PAM’ bermaksud Pelajar Antarabangsa di Malaysia.
  4. ‘Jawatankuasa Teknikal Pertandingan’ ialah individu-individu yang dilantik oleh JPT bagi mengatur selia urusan penghakiman pertandingan.
  5. Kategori Alam Melayu bermaksud kategori yang disertai oleh peserta yang mewakili negara Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, dan Thailand.
  6. Kategori Antarabangsa bermaksud kategori yang akan disertai oleh peserta yang mewakili negara-negara selain daripada negara-negara kategori Alam Melayu.
  7. Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia bermaksud kategori yang disertai oleh pelajar antarabangsa yang bukan berasal dari negara kategori Alam Melayu yang sedang menyambung pangajian di IPT Malaysia.
  8. ‘MADUM’ bermaksud Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia.
  9. ‘Panel Hakim’ bermaksud individu yang dicadangkan oleh MADUM dan dilantik oleh JPT untuk menghakimi pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu.
  10. ‘Pidato’ bermaksud - ‘Seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dengan penuh keyakinan dengan tujuan untuk memikat atau memukau pendengaran audiens untuk terus mendengar apa yang diperkatakan’.

Syarat-syarat penyertaan

  1. Bagi Kategori Alam Melayu setiap negara dibenarkan menghantar maksima DUA (2) orang peserta sahaja.
  2. Peserta hendaklah berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
  3. Setiap peserta hanya dibenarkan menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu sebanyak TIGA (3) kali sahaja. Peserta yang pernah mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dalam Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri terdahulu TIDAK dibenarkan menyertai pertandingan ini.
  4. Pihak Penganjur berhak mengadakan sesi saringan sebelum Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu untuk memastikan hanya peserta yang benar-benar layak sahaja menyertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu.
  5. Bagi peserta yang sedang mengikuti pengajian ijazah pertama, hendaklah mencapai sekurang-kurangnya PNGK (CGPA) 2.5 atau yang setaraf dengannya atau yang diperakui oleh Penganjur. Salinan keputusan peperiksaan hendaklah disertakan bersama borang penyertaan.
  6. Peserta mestilah warganegara kepada negara yang diwakilinya dan mereka mestilah pelajar yang berdaftar di mana-mana IPT Malaysia. Hanya penyertaan yang dihantar melalui pihak IPT sahaja akan diterima oleh Penganjur.
  7. Pihak penganjur berhak untuk menukar kategori yang disertai oleh seseorang peserta antarabangsa jika pihak penganjur berpendapat Bahasa Melayu adalah ‘bahasa ibunda’ peserta tersebut.

Sistem pertandingan

  1. Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri akan diadakan dalam tiga kategori iaitu Kategori Antarabangsa, Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) dan Kategori Alam Melayu.
  2. Bagi kategori Antarabangsa pertandingan akan diadakan dalam EMPAT (4) pusingan iaitu pusingan awal, pusingan suku akhir, pusingan separuh akhir dan pusingan akhir.
  3. Bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) dan kategori Alam Melayu pertandingan akan diadakan dalam TIGA (3) pusingan iaitu pusingan awal, pusingan separuh akhir dan pusingan akhir.
  4. Jumlah peserta untuk kategori Alam Melayu tidak melebihi SEPULUH (10) orang, jumlah peserta untuk kategori Antarabangsa dan Kategori PAM tidak melebihi EMPAT PULUH (40) orang bagi setiap kategori yang tersebut.
  5. Dua puluh (20) orang peserta terbaik dari kategori Antarabangsa di pusingan awal layak ke pusingan suku akhir.
  6. Sepuluh (10) orang peserta terbaik daripada kategori Antarabangsa di pusingan suku akhir layak ke pusingan separuh akhir.
  7. Sepuluh (10) orang peserta terbaik daripada kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) dan lima (5) orang peserta terbaik daripada kategori Alam Melayu di pusingan awal layak ke pusingan separuh akhir.
  8. Tiga (3) orang peserta terbaik dari kategori Antarabangsa, Kategori PAM dan Kategori Alam Melayu di pusingan separuh akhir layak ke pusingan akhir.
  9. Seandainya ada peserta yang menarik diri di pusingan suku, separuh atau akhir, peserta yang berada di kedudukan berikutnya akan menggantikan tempat peserta yang menarik diri.
  10. Panel hakim tidak dibenarkan berbincang dalam membuat keputusan dan menentukan kedudukan peserta.
  11. Kriteria yang akan diambil kira untuk menentukan kedudukan peserta adalah seperti yang berikut:
    • Jumlah mata mengikut kedudukan.
    • Jumlah purata markah keseluruhan.
    • Jumlah purata markah isi.
    • Jumlah purata markah bahasa.
    • Jumlah purata markah gaya dan persembahan.

Kaedah pertandingan

  1. Pidato hendaklah disampaikan dalam Bahasa Melayu.
  2. Bagi kategori Antarabangsa, masa yang diperuntukkan untuk berucap di pusingan awal ialah LIMA (5) minit. Masa yang diperuntukkan untuk berucap di pusingan suku akhir ialah ENAM (6) minit. Masa yang diperuntukkan di pusingan separuh akhir dan pusingan akhir bagi semua kategori ialah TUJUH (7) minit.
  3. Bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) dan kategori Alam Melayu, masa yang diperuntukkan ialah ENAM (6) minit untuk pusingan awal. Masa yang diperuntukkan untuk pusingan separuh akhir dan pusingan akhir ialah TUJUH (7) minit.
  4. Loceng akan dibunyikan sekali pada awal minit pertama sebagai menandakan peserta sudah boleh memulakan pidato dan pada permulaan minit terakhir menandakan peserta mempunyai SATU (1) minit lagi untuk berpidato. Loceng akan dibunyikan dua kali bagi menandakan masa untuk berpidato sudah tamat.
  5. Sebarang penyampaian selepas loceng penamat dibunyikan tidak akan diberikan markah.
  6. Para peserta hendaklah berada di tempat pertandingan tiga puluh (30) minit lebih awal untuk tujuan pengesahan penyertaan.
  7. Giliran pemidato adalah berdasarkan cabutan undi yang akan diadakan sehari sebelum pertandingan bermula.

Etika pertandingan

  1. Peserta diwajibkan berpakaian kemas semasa pertandingan.
  2. Peserta hendaklah sentiasa bersopan santun semasa berpidato. Sebarang aksi kurang sopan, misalnya menggunakan perkataan yang kasar dan kurang manis adalah tidak dibenarkan.
  3. Peserta tidak dibenarkan menyentuh perkara sensitif yang boleh menjejaskan maruah dan integriti seseorang individu, agama, masyarakat dan sesebuah negara.

TAJUK PIDATO

  1. Peserta dikehendaki menentukan sendiri tajuk pidato masing-masing untuk dipertandingkan berdasarkan kepada tema-tema yang disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pertandingan. Peserta dibenarkan memilih tajuk dan tema yang berbeza untuk setiap pusingan yang disertainya atau menggunakan tajuk dan tema yang sama dalam setiap pusingan yang disertainya.

Tatacara pemarkahan

  1. Setiap pemidato akan diberikan markah maksimum seratus (100) markah berdasarkan kriteria yang berikut:
    • Isi - 40 markah
    • Gaya Persembahan - 20 markah
    • Bahasa - 35 markah
    • Etika - 5 markah
  2. Markah isi akan diadili dari segi definisi tajuk pidato, kesesuaian hujah dengan tajuk pidato, pengembangan dan huraian hujah yang bernas, fakta-fakta, bukti dan contoh yang bersesuaian dengan hujah.
  3. Markah bahasa akan diadili berdasarkan bahasa yang jelas (struktur dan sebutan), pertautan bahasa, santun dan tatabahasa yang bersesuaian serta gaya bahasa yang berkesan dan tepat dengan maksud yang hendak disampaikan.
  4. Markah gaya dan penyampaian akan diadili berdasarkan persembahan pemidato yang lancar, tiada bergantung sepenuhnya kepada nota, kesesuaian nada suara serta persembahan yang menyakinkan, gaya persembahan yang menarik, nilai bujukan yang tinggi dan penyampaian hujah yang tertib tanpa bergantung kepada teks.
  5. Markah etika akan diadili berdasarkan kepada pakaian yang kemas dan sopan, tingkah laku yang beradab sewaktu berpidato dan kemampuan berpidato dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

Keputusan

  1. Keputusan panel hakim adalah muktamad dan markah yang dicatatkan adalah sulit dan rahsia. Sebarang bantahan boleh dikemukakan kepada Urus Setia Pertandingan untuk tujuan penambahbaikan pada pertandingan akan datang.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini, sila KLIK DISINI untuk lebih maklumat..


No comments:

Post a comment

Member BSK