Majlis Amanah Rakyat (Mara) merancang menggunakan populariti penyanyi
terkemuka negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk memperkasakan lagi
program pembangunan usahawan bumiputera bagi menembusi pasaran tempatan
dan di peringkat antarabangsa.
Timbalan Ketua Pengarah Keushawanan Mara, Datuk Mohd. Rosdi Ismail
berkata, perbincangan dengan penyanyi bersuara emas dan memenangi lebih
200 anugerah tempatan serta antarabangsa itu telah diadakan dan Siti
Nurhaliza nampaknya tidak keberatan untuk membantu program melibatkan
usahawan bumiputera itu.
"Saya bagi pihak Mara sudah berbincang dengan Siti Nurhaliza dan kita
mungkin bekerjasama bukan sahaja untuk melahirkan usahawan SimplySiti bahkan untuk membina produk SimplySiti di seluruh negara yang mempunyai 500 rangkaian pada masa ini.
"Kami telah pun membuat permohonan untuk menjadikan penyanyi
berkenaan sebagai ikon program pembangunan usahawan tetapi sehingga kini
belum ada sebarang perjanjian dilakukan," katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu demikian pada sidang akhbar yang turut disertai
Siti Nurhaliza di Halal Fiesta Malaysia (Halfest 2013), ekspo lima hari
perkhidmatan halal terbesar di Pusat Pameran Mines, Seri Kembangan,
Selangor yang bermula sejak Rabu lalu.
Siti Nurhaliza datang ke pesta itu sebagai tetamu bagi mempromosi
usahawan-usahawan Mara selain memperkenalkan produk kecantikannya
sendiri berjenama SimplySiti.
"Sebenarnya, Mara telah pun bekerjasama dengan Siti Nurhaliza sebelum
ini melalui pengeluaran produknya dan kami berharap kerjasama itu dapat
diteruskan," katanya.
Beliau berkata, Mara juga sedia bekerjasama melalui program
mentor-mentee produk berkenaan termasuk menyediakan lot-lot perniagaan
di kompleks perniagaan Mara di seluruh negara.
Sementara itu, Penyanyi Siti Nurhaliza ketika ditemui dalam majlis
yang sama mengalu-alukan sebarang kerjasama yang baik dengan pihak Mara
mahu pun untuk mempromosikan lagi produk keluaran bumiputera sama ada di
dalam negara mahu pun di peringkat antarabangsa.
"Saya mengalu-alukan kerjasama ini, saya sebagai usahawan melihatnya
sebagai satu pendekatan yang baik untuk membawa produk tempatan ke
peringkat yang lebih tinggi lagi," katanya.
"Saya menyokong (usaha) sama ada pihak kerajaan atau Mara untuk
memperkasa ekonomi bumiputera supaya produk kita akan lebih gah lagi di
masa akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment