Jumlah Pengunjung

Monday 24 December 2012

GELOMBANG KESEDARAN PENYOKONG PAS !!!



MUHYIDDIN Yassin menerima borang keahlian UMNO daripada Hassan Tahir ketika melawat bekas ahli Pas itu di rumahnya di Pulau Bahagia, Kuala Terengganu, semalam. Hassan, 67, yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi menyerahkan borang keahlian bersama isteri serta lapan orang anaknya sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri. - BERNAMA
KUALA TERENGGANU 22 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan gelombang kesedaran di kalangan penyokong Pas semakin meluas apabila mereka mendapati bahawa parti itu terus membohongi para pengikutnya.
Katanya, Pas hanya melaungkan omong kosong terhadap perjuangannya sedangkan mereka tidak mampu melaksanakannya malah terpaksa tunduk kepada pihak lain dalam pakatan yang dibentuk dan tidak boleh disandar harap demi masa depan Islam.
Katanya, dalam keghairahan kononnya untuk berkuasa parti itu sedia sanggup bersekongkol dengan parti-parti yang jelas mengkhianati perjuangan orang Melayu dan tidak dapat menerima usaha untuk menegakkan Islam.
''Pas bersekedudukan dengan DAP, parti cauvanis yang baru-baru ini pemimpin Melayunya ditolak dalam dewan tertinggi mereka. Pas bersubahat dengan DAP yang tidak menyokong usaha-usaha membangunkan Islam," ujarnya.
Katanya, mereka juga menerima Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang jelas menunjukkan betapa liberalnya sikap mereka terhadap Islam dan pemimpinnya kerap menyatakan pendirian yang menyakitkan hati umat Islam termasuk menyamakan Islam dengan agama lain.
Muhyiddin menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Pulau Bahagia, Manir di sini hari ini yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang biarpun dalam suasana hujan berterusan.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan negeri Manir, Yusof Awang Hitam serta para pemimpin setempat.
Kata Muhyiddin, Pas hanya bertanding dalam jumlah kerusi yang kecil dan mereka tidak mungkin dapat menerajui kerajaan ketika Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mahu dilonjakkan sebagai Perdana Menteri.
''Pas tak bertanding banyak kerusi dan mengikut sejarah pilihan raya, ia memenangi tidak lebih daripada 31 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. Pasal apa Hadi nak jadi Perdana Menteri?" ujarnya.
Katanya, slogan membangun bersama Islam yang dilaungkan-laungkan oleh Pas hanya untuk menarik sokongan sedangkan yang melakukan tanggungjawab dan amanah itu selama ini adalah UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN).
''Siapa sebenarnya yang membangunkan bersama Islam, tidak lain dan tidak bukan UMNO dan kerajaan BN, itulah maksud kita, yang memaju dan membangunkan ummah," ujarnya.
Dalam majlis itu, Muhyiddin turut meluluskan peruntukan RM2.9 juta yang sebahagian besarnya untuk projek membalik pulih rumah golongan miskin bagi kawasan Hulu Terengganu di samping menerima penyerahan 300 borang keahlian UMNO daripada bekas penyokong Pas serta menyampaikan bantuan kepada beberapa orang penduduk.

No comments:

Post a Comment

Member BSK