Jumlah Pengunjung

Thursday, 5 December 2013

KHALID MUNGKIN AKAN BERTUMBUK DENGAN AZMIN ALI ???



Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkemungkinan tidak akan mendapat laluan mudah sekiranya beliau mahu mempertahankan jawatan tersebut berikutan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut dikatakan akan bertanding merebut jawatan nombor dua itu dalam pemilihan parti pada Mei tahun depan. 
 
Menteri Besar Selangor tidak menafikan desas-desus perkara itu dan menyatakan pihaknya akan membuat pengumuman sama ada akan mencabar Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden parti atau tidak apabila perkara itu perlu dilakukan. 

"Buat masa ini perkara itu tidak pernah dibincangkan lagi dan sebarang pencalonan jawatan pada pemilihan itu adalah urusan dalaman parti dan tidak perlu dibincangkan secara terbuka. 

"Kita akan buat pengumuman apabila perkara itu (pencalonan beliau sebagai Timbalan Presiden PKR) perlu diumumkan," katanya dengan ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Forum ASEAN Economic Community (AEC) 2015 di sini hari ini. 

Abdul Khalid mengulas khabar angin bahawa beliau akan mencabar Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu tahun depan.
Sebelum ini, hubungan antara Abdul Khalid dengan Azmin dilaporkan 'tidak begitu mesra' apabila Timbalan Presiden PKR itu sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri melibatkan beberapa isu tertentu. 

Terbaharu, Azmin yang merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor dilaporkan bertindak melalui badan itu mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu.

Malah, pada 28 November lalu, beliau turut menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari tahun depan, selain menganggapnya itu terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan. 

Bagaimanapun, difahamkan pergeseran antara Azmin dan Abdul Khalid telah bermula sejak 2010 lagi apabila Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Pengerusi PKR Selangor daripada Abdul Khalid. 

Dalam pada itu, Abdul Khalid menafikan kritikan Azmin terhadap pentadbirannya termasuk isu kenaikan gaji dan elaun anggota pentadbiran kerajaan negeri baru-baru ini yang mempunyai kaitan dengan pemilihan PKR akan datang. 

"Tidak ada perkara itu," kata beliau.







No comments:

Post a comment

Member BSK