Jumlah Pengunjung

Monday 26 August 2013

AMARAN UNTUK SEMUA GENG KONGSI GELAP !!!



Kementerian Dalam Negeri akan mengumumkan senarai nama kumpulan kongsi gelap serta jenayah yang dilakukan mereka, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia akan diumum dalam waktu terdekat selepas proses pewartaan selesai dibuat.

"Kami dah ada senarai nama kumpulan yang dikategorikan sebagai pertubuhan haram serta senarai aktiviti jenayah dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan ahli kongres Amerika Syarikat Eni Faleomavaega di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata langkah mendedahkan senarai itu kepada umum ialah untuk membolehkan masyarakat faham bahawa polis bersungguh-sungguh dalam usaha menangani jenayah.

"Ia juga untuk membangkitkan kesedaran bahawa masyarakat perlu bersama-sama mendokong usaha polis membanteras jenayah," katanya.
Menerusi senarai itu juga, beliau berkata masyarakat dapat mengetahui bahawa kegiatan kongsi gelap bukan hanya membabitkan sesuatu kaum sebaliknya melibatkan kaum-kaum lain.

"Ramai yang mengatakan kongsi gelap hanya membabitkan kaum India sedangkan kongsi gelap Melayu dan Cina juga banyak," katanya.
Mengenai Ops Cantas, Ahmad Zahid berkata operasi itu dijalankan di seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di Pulau Pinang.

"Tumpuan turut diberikan di seluruh negara dan polis sudah bersiap sedia untuk bertindak kerana telah menghidu beberapa lagi jenayah terancang yang akan dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menjelaskan keselamatan keseluruhan rakyat lebih penting daripada menjaga jumlah mereka yang akan dikenakan pemakaian peranti pengawasan elektronik (EMD).

"Dalam hal ini bukan soal hak asasi manusia tetapi bagaimana identifikasi untuk menentukan keamanan itu dapat dilaksanakan di negara kita," katanya.
Beliau mengulas mengenai EMD yang akan digunakan ke atas penjenayah tertentu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), menerima kritikan pihak tertentu.

EMD bertujuan mengesan suspek jenayah terancang dan kejam bagi memastikan mereka tidak melakukan jenayah lain semasa dalam jaminan. - BERNAMA







No comments:

Post a Comment

Member BSK