Abdul Hadi Awang
Ahli Parlimen Marang itu memberitahu, pertelingkahan dan perbalahan pendapat dalam kalangan ahli Pas sudah lama berlaku seawal tahun 1960.

“Sejak saya aktif dalam Pas pada 1964, saya sudah melihat perbezaan pendapat ini berlaku apabila orang yang berhimpun dalam Pas terdiri daripada golongan pemikirannya yang maju, ada yang sederhana dan ada pula kumpulan yang menzalimi diri sendiri iaitu kumpulan yang suka mengambil kesempatan.

“Oleh itu apa juga berkaitan dasar, kita tidak berganjak manakala perbezaan pendapat kita akan bermesyuarat, maka keputusan mesyuarat akan kita terima, kepada ahli yang berpecah (tidak menerima keputusan) mereka perlu keluar daripada parti ini.

“Kita tidak bersetuju untuk menjadikan Pas parti sekular, ada dalam kalangan kita hendak buang perkataan Islam, tidak boleh bercakap pasal Islam, itu kita tidak boleh terima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jalan penyelesaian Pas untuk menamatkan krisis dalaman parti berkenaan dalam sesi bicara di MyHarakah Bazar, di sini hari ini.

Pemilihan Jawatankuasa Pusat pada Muktamar Pas Ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor bakal menyaksikan pertembungan antara dua kumpulan iaitu Anwarinas dan golongan ulama dalam perebutan jawatan tertinggi parti itu.

Sebelum ini, ahli di peringkat akar umbi juga telah memberi isyarat awal untuk membebaskan Pas daripada cengkaman puak Anwarinas apabila jumlah pencalonan dalam kalangan pemimpin ulama jauh lebih tinggi berbanding calon-calon yang berada dalam kem Anwarinas.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, apa yang lebih penting ialah perjuangan Pas perlu konsisten berteraskan disiplin, adab, akhlak dan roh melalui perhitungan dosa dan pahala.

“Cuma kita tidak menafikan ada orang di luar sana yang tidak beradab, dalam keluarga juga ada yang tidak beradab apatah lagi dalam parti,” katanya.
Tegasnya, antara cabaran utama politik hari ini adalah kewujudan fahaman sekular yang tidak menempatkan Islam dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

Ketika ditanya mengenai cadangan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk mewujudkan semula Kabinet bayangan pembangkang, Abdul Hadi berkata, kemenangan pada pilihan raya umum adalah lebih penting.

“Kalau tidak masuk nama saya pun tidak mengapa tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menang, bagaimana kita mahu merealisasikan kemenangan, siapa menjadi menteri pun tidak mengapa,” katanya.