Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, penceramah MCA berkenaan bersama-sama Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Gui Guat baru selesai mengadakan ceramah di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun menurut Gui Guat, ketika mahu turun dari atas trak yang digunakan untuk berceramah, tiga lelaki secara tiba-tiba memaki hamun penceramah tersebut.
“Saya cuba mempertahankan penceramah itu tetapi salah seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan menolak saya dan yang lain cuba memukul saya dengan kayu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Gui Guat, beliau percaya ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berumur antara 40 hingga 50 tahun merupakan penduduk di taman perumahan tersebut.
Ekoran kejadian itu tambahnya, beliau dan penceramah berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Perda kira-kira 11 malam tadi.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi MCA negeri, Tan Teik Cheng berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas para penyerang tersebut.
“Bagaimanapun kejadian itu tidak mematahkan semangat kita untuk terus berjumpa pengundi dan program ceramah malam ini akan diteruskan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis bagi PRK Permatang Pauh, Asisten Komisioner Azmi Adam memberitahu, polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.