Jumlah Pengunjung

Sunday, 23 September 2012

Islam untuk kuatkan politik atau politik untuk kuatkan Islam?

SAYA mewakili jutaan lagi umat Islam di tanah Melayu ini mahu melihat janji-janji Parti Islam SeMalaysia (Pas) ditepati. Janji mesti ditepati, seperti janji-janji kerajaan Barisan Nasional (BN).
Janji Pas supaya hukum hudud dilaksanakan, yang merupakan perjuangan mutlak Pas wajib dikotakan.
Sebenarnya Pas dan Hudud tidak boleh dipisahkan. Seruan Ustaz Nasharudin Mat Isa kelmarin kepada Mursyidul Amnya, Nik Aziz Nik Mat amat tepat sekali. Nik Aziz yang telah memperjuangkan hudud sejak lebih 22 tahun lalu hendaklah menunaikannya. Pelaksanaan hukum hudud tidak boleh dilengah-lengahkan.
Nik Aziz sudah memerintah Kelantan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1990. Saya ditugaskan ke Kelantan sebagai pemberita sebaik-baik sahaja Nik Aziz menduduki kerusi MB Kelantan. Siang malam dia bercakap pasal hudud. Naik jemu kami, para pemberita ketika itu mendengar mengenai hudud.
Tapi sehingga kini habuk pun tak ada. Saya hairan mengapa Nik Aziz mempermain-main hukum Allah seperti yang diterangkan di dalam al-Quran dan Hadis?
Hukum Allah ialah perintah. Sama ada suka atau tidak kita kena ikut. Jika itu cadangan yang dilontarkan Pas, maka laksanakanlah.
Jangan letak tanggungjawab itu kepada orang lain.
Rakyat Kelantan yang memberi undi kepada Pas kerana mahu melihat pelaksanaan hukum itu dijalankan selama ini masih tertunggu-tunggu.
Jika bukan kerana janji hukum hudud sudah pasti rakyat Kelantan tidak akan memberi undi kepada Pas dan Nik Aziz.
Nik Aziz patut memberitahu tempoh selewat-lewatnya bila pelaksanaan hudud boleh dilakukan di Kelantan. Jangan asyik mengatakan UMNO yang menolak hudud.
Kuasa sudah ada dalam tangan Nik Aziz selama 22 tahun. Sudah empat kali PRU berlalu (selepas 1990) dan setiap kali kempen PRU itu lagu-lagu hudud diputarkan balik dengan menggunakan radio lama, namun janji itu masih belum dikotakan.
Yang hairannya rakyat Kelantan terus percaya dan menunggu-tunggu bilakah hukum Allah itu boleh dilaksanakan.
Nik Aziz kena jujur dengan rakyat Kelantan dan berusaha bersungguh-sungguh semasa dia masih hidup dan memegang kuasa.
Jika mereka bercita-cita untuk ke Putrajaya, maka prinsip perjuangan hudud ini hendaklah dipegang kuat, waima tentangan daripada Karpal Singh sekali pun. Ini kerana sepanjang pengetahuan kita, Karpal sendiri belum menarik balik kata-katanya "langkah mayat aku dulu".
Nik Aziz kena berani menyatakan pendirian Pas kepada konco-konconya dalam DAP dan PKR. Sebagai mengaku dirinya ulama dan pemimpin politik Islam, Nik Aziz tidak wajar berdolak-dalik dan meletakkan kegagalan hudud itu kepada UMNO.
Saya hairan selepas 22 tahun janji ini dilontarkan, kajian mengenai pelaksanaan hukum ini masih belum selesai dijalankan oleh pihak kerajaan Pas negeri Kelantan.
Baru-baru ini kerajaan Pas Kelantan menubuhkan satu jawatankuasa kecil dan yang peliknya jawatankuasa kecil itu hendak menubuhkan satu lagi jawatankuasa kecil bagi mengkaji hal-hal teknikal mengenai pelaksanaan hukum itu.
Ini menunjukkan kerajaan Pas Nik Aziz tidak membuat persiapan awal. Lagu hukum hudud telah mula diputarkan sejak menjelang PRU 1990, tapi jawatankuasa kecil hanya ditubuhkan baru-baru ini saja.
Kesimpulan saya senang saja: Perjuangan Pas ialah menggunakan agama Islam untuk kekuatan politiknya; manakala UMNO menggunakan politik untuk menguatkan Islam.
Kekuatan Pas hanya ceramah, ceramah, ceramah selama 365 hari atau tahun lompat 366 hari setahun, termasuk di atas mimbar khutbah Jumaat dan khutbah raya.
UMNO sebaliknya menggunakan politik untuk membina masjid-masjid, perbankan Islam, universiti-universiti Islam, Darul Quran dinaikkan taraf kepada kolej universiti, di Terengganu, misalnya kerajaan UMNO sejak sekian lama telah menubuhkan pusat pengajian al-Quran pelbagai qiraat dan lain-lain yang tak mampu ditulis di ruangan ini.
Ketahuilah rakyat Melayu Islam Malaysia bahawa kerajaan BN yang diterajui oleh pemimpin UMNO telah banyak menggubal undang-undang menepati hukum Islam yang bukan atas nama hukum hudud Pas.
Fikir-fikirkanlah... Wasalam.

No comments:

Post a Comment

Member BSK