Jumlah Pengunjung

Friday 21 September 2012

Nasrudin: Pas hormat pendirian Pemuda Umno

KUALA LUMPUR - Pemuda Pas menerima secara terbuka dan menghormati pendirian Pemuda Umno yang mahu mengadakan himpunan aman secara berasingan hari ini bagi membantah filem Innocence of Muslim dan karikatur dalam majalah Perancis.
Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya wajar menghormati pendirian dibuat Ketua Pemuda Umno dan Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin selepas mereka bersama-sama berbincang kelmarin.
"Saya hormati sikap dan pendirian beliau," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Semalam, Khairy berkata, Pemuda Umno akan mengadakan protes berasingan daripada Pemuda Pas bagi mengecam penerbitan filem anti-Islam  Innocence of Muslims dan kartun di dalam majalah Perancis Charlie Hebdo.
Katanya, ia dilakukan atas faktor keselamatan setelah berbincang dengan Ketua Pemuda Pas dan mendapat nasihat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein.
"Kami risau dari segi keselamatan apabila terlalu ramai penyokong politik yang berbeza bertembung di Kedutaan Amerika Syarikat, keadaannya panas
dan kami telah buat keputusan itu. Tujuan esok melahirkan bantahan filem Innocense of Muslim, jangan perkara itu ditenggelami oleh kerana insiden yang boleh berlaku.
"Saya juga rujuk kepada Menteri Dalam Negeri, hendak pastikan esok (hari ini) selamat dan saya dapat nasihat lebih baik kita pecahkan crowd, kalau tidak (akan menjadi) terlalu ramai dan ada kebimbangan sesuatu boleh berlaku dan kita tak nak hantar mesej yang salah kepada masyarakat dunia," katanya.
Khairy berkata, perhimpunan Pemuda Umno, pergerakan Pemuda parti-parti komponen serta lebih 10 badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan di perkarangan Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat manakala Pemuda Pas akan menganjurkan protes di perkarangan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak.
Selain parti-parti komponen, antara NGO terlibat dalam protes di perkarangan Masjid Kampung Baru esok termasuk Pertubuhan Peribumi Perkasa, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Belia Malaysia, Alumni Aspirasi dan Belia 4B.
Minggu depan, Khairy berkata Gerakan Pemuda Umno turut akan menganjurkan program Malam Cintai Rasul atas objektif yang sama bagi melahirkan
bantahan, namun dalam bentuk yang lebih tenteram.
Semalam, Khairy mengumunkan yang perhimpunan oleh Pemuda Umno akan diadakan secara berasingan di pekarangan Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat hari ini.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, himpunan aman oleh Pemuda Pas yang juga dikenali sebagai  Xpresi Hijau Kasih Nabi SAW akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak.

"Jika timbul kekacauan atau provokasi, itu bukan berpunca daripada pihak Dewan Pemuda Pas," tegasnya.

Tambah beliau, Pemuda Pas juga memberi amanah penuh kepada Unit Amal untuk mengawal himpunan agar berlangsung dengan aman dan terkawal.

Menurut beliau lagi, peserta Xpresi Hijau Kasih Nabi SAW juga  tidak dibenarkan membawa senjata atau apa jua yang merbahaya dan boleh mengancam keselamatan peserta dan orang ramai.


No comments:

Post a Comment

Member BSK