Pas gagal mendapat kepercayaan majoriti umat Islam di negara ini kerana empat perkara pokok yang tidak mampu diselesaikan malah masih diamalkannya sehingga sekarang demi menjaga kepentingan parti.
Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata walaupun perkara-perkara yang dilakukan didapati bertentangan dengan agama, pemimpin Pas tetap tidak mahu mengubahnya kerana percaya kononnya ia disukai orang-orang Islam termasuk pengikut mereka sendiri.
Katanya perkara utama yang gagal diselesaikan Pas ialah berkaitan masih wujudnya Amanat Haji Hadi" yang walaupun telah lapuk tetapi kesannya masih menyebabkan masyarakat Islam berpecah sehingga sekarang.
Selain itu elemen Khawarij yang masih diamalkan dalam Pas yang mudah menyalahkan orang lain tanpa memandang secara positif akan sesuatu isu atau perkara juga menjadi penyebab," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bayaran RM1,000 kepada 383 Veteran Tentera Tidak Berpencen daerah Besut dan Setiu di dewan sivik Jabi dekat sini hari ini.
Abdullah yang juga Anggota Parlimen Besut berkata keengganan Pas bersatu dengan UMNO yang dituduh tidak Islamik sebaliknya memilih DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menjadi tanda tanya masyarakat Islam berhubung pendirian parti itu.
Selain itu, katanya, pemecatan beberapa tokoh agama dalam Pas yang dibuat tanpa soal selidik juga telah menyebabkan umat Islam sudah hilang kepercayaan kepada Pas yang selama ini menggembar-gemburkan dirinya sebagai parti yang memperjuangkan Islam.
Menurutnya empat perkara pokok itu menyebabkan masyarakat Islam hilang keyakinan dan kepercayaan dan ditambah pula dengan sikap pemimpin Pas yang sentiasa berdolak dalik dan sering berubah pandangan berhubung sesuatu isu membuktikan Pas sebagai parti tiada pendirian yang mudah menurut telunjuk terutama dari DAP.
No comments:
Post a Comment