Jumlah Pengunjung

Sunday, 7 July 2013

AKTA HASUTAN BUAT PEMBANGKANG MARAH PADA ZAHID HAMIDI !!!




Akta Hasutan 1948 tidak perlu dimansuhkan kerana merupakan benteng utama dalam mengekang perbuatan 'menghalalkan' fitnah, tohmahan serta pelbagai bentuk hasutan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, akta itu perlu dikekalkan selepas kerajaan mendengar pelbagai desakan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO).

"Untuk itu, saya tidak fikir Akta Hasutan 1948 patut dihapuskan sebab apa lagi yang tinggal (selepas ISA dan EO dimansuhkan)?

"Jika penghasut-penghasut dan mereka yang menimbulkan perkara-perkara sensitif, yang dianggap memecah-belahkan perpaduan kaum, kebebasan agama dan memberikan gambaran negatif, sudah tentu termasuk dalam kategori hasutan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelepasan Konvoi Kembara Queen Street (KQS) sempena sambutan ulang tahun ke-75 Utusan Melayu (M) Berhad di Ibu Pejabat Utusan Melayu, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid.

Konvoi KQS merupakan projek sulung anjuran Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) dan diketuai Penolong Ketua Pengarang l Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan melibatkan 28 buah motosikal berkuasa tinggi serta empat buah kenderaan bersama bantuan lapan pengiring daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Konvoi itu akan melalui perjalanan sejauh 400 kilometer sehingga ke Queen Street, Singapura bagi menjejaki sejarah penubuhan Utusan Melayu.

KQS telah menerima pelbagai tajaan antaranya daripada Canon Marketing (M) Sdn. Bhd., Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jamu Mak Dara Sdn. Bhd., Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Turut menaja, Givi Asia Sdn. Bhd. (Givi Asia), Naza Quest Sdn. Bhd., SMS Autoworld Sdn. Bhd. (SMS Autoworld), Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) dan Kerajaan Negeri Johor, Melaka serta Perak.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengulas desakan pembangkang supaya kerajaan menghapuskan Akta Hasutan 1948 dengan alasan akta itu sebagai warisan yang ditinggalkan penjajah British.
Beliau memberitahu, berdasarkan amalan demokrasi dan kepercayaan mana-mana agama sekali pun, hasutan adalah salah dan perkara itu tidak seharusnya bersandarkan kepada 'matlamat menghalalkan cara'.
"Dengan EO dimansuhkan, maka lihatlah kejadian yang berlaku sekitar masyarakat, kadar jenayah bertambah, perbuatan jenayah yang terdorong daripada undang-undang yang telah memberikan semacam kebebasan kepada penjenayah untuk melakukan kegiatan mereka," kata beliau.
Kepada soalan berhubung draf undang-undang baharu bagi menggantikan EO yang dimansuhkan pada 2011, beliau memberitahu, dalam melaksanakan dasar keterbukaan, kementerian, polis dan Jabatan Peguam Negara akan mengadakan majlis dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

Dialog itu, tambah beliau, bertujuan membolehkan pihaknya mendapat maklum balas, input dan ulasan supaya undang-undang baharu nanti diterima semua pihak.

"Kita tidak mahu berlakunya 'rumah siap pahat berbunyi' selepas dibentangkan di Dewan Rakyat, diluluskan Dewan Negara dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong nanti," tegas beliau.






No comments:

Post a comment

Member BSK