Sama ada mencari publisiti murahan atau sengaja
mencari pasal, pasangan Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, yang pernah
mencemarkan maruah negara di Singapura dengan memuat naik gambar dan
video lucah mereka ke blog, terus mencipta kontroversi.
Kali ini, di laman Facebook rasmi milik kedua-dua bekas pelajar
National University of Singapore berkenaan, mereka seakan-akan
mempersenda kedatangan Ramadan apabila memuat naik gambar sedang
menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut
teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan'.
Pada gambar berkenaan, kedua-dua mereka turut menulis keterangan
gambar seakan-akan menyindir iaitu 'Izinkan kami memperkenalkan cara
kami memupuk semangat 1Malaysia dengan bertukar-tukar makanan antara
kaum-kaum Malaysia pada musim perayaan yang mulia ini. Hak untuk
menikmati juadah enak tempatan seharusnya merentasi batasan bangsa dan
juga agama. Kepada saudara-saudari yang beragama Islam, selamat berbuka
puasa dan Salam Aidilfitri!
Tidak cukup dengan itu, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.
Penyiaran poster itu dikongsi oleh banyak pengguna blog dan Facebook.
Ratusan pembaca beragama Islam dan lain-lain kaum termasuk Cina
menyatakan kemarahan mereka dan mengkritik tindakan pasangan yang
popular dengan gelaran Alvin dan Vivian itu.
Antara pembaca seorang wanita menggunakan nama Hazel Sia yang berkata, Can
we just ignore this shameless couple? They do not represent the
Malaysian Chinese, they are the worse garbage...no respect for others
and their own families' (Boleh tak kita jangan mempedulikan pasangan
yang memalukan ini? Mereka tidak mewakili Cina Malaysia, mereka sampah
paling teruk...tidak hormat kepada orang lain dan keluarga sendiri).
Seorang lagi pembaca, Kelly Lee berkata, not all Malay call
us babi and cina tsunami. Only certain malays...I am good with my Malay
friends...sad to see Alvin was a law student. Disgrace to the Chinese
and as a Malaysian. Sometimes I wonder, how did he get his scholarship'
(bukan semua Melayu panggil kita babi dan Cina tsunami. Hanya
sebahagian Melayu...saya baik dengan kawan-kawan Melayu...sedih melihat
Alvin bekas seorang pelajar undang-undang. Satu penghinaan terhadap Cina
dan sebagai rakyat Malaysia. Saya tertanya-tanya, bagaimana dia boleh
dapat biasiswa).
Seorang pembaca Melayu, Aizat Ahmad berkata, 'saya harap isu
sensitif orang Islam jangan dipermainkan. Saya masih lagi hormat bangsa
Cina kerana kawan-kawan saya ramai yang Cina, Jangan sampai hormat saya
terhadap bangsa Cina hilang kerana isu ini...Mohon jangan ulangi
kesilapan ini'.
Sementara itu, MCA Negeri Sembilan membuat laporan polis petang ini
meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pasangan terbabit.
Pengerusi MCA negeri tersebut, Datuk Dr. Yeow Chai Tiam berkata,
kedua-dua individu itu tidak sensitif terhadap perasaan orang Islam dan
tindakan tersebut telah mencetuskan masalah yang besar.
Ini bukanlah kali pertama kedua-duanya menimbulkan isu sensitif di laman sosial berkenaan.
Pada 3 Julai lalu, mereka memuat naik video daripada salah sebuah
portal berita yang menunjukkan operasi oleh pihak berkuasa menahan
sekumpulan remaja Islam terlibat dengan parti buih. Pada video
berkenaan, ditulis keterangan 'susahnya jadi Melayu'.
Dalam ruangan komen pula, mereka mempertikaikan tindakan yang diambil
dengan mendakwa kebebasan beragama tidak wujud di Malaysia terutamanya
untuk kaum Melayu.
No comments:
Post a Comment