Ahli Pas yang juga Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP),
Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, Pas perlu komited dan istiqamah
dalam mempertahankan teguran yang disuarakan Penolong Setiausaha Agung
parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Menurutnya, tiada siapa boleh menafikan Islam sebagai agama
Persekutuan seperti yang telah tercatat dalam Perlembagaan dan semua
pihak harus menghormati peruntukan berkenaan termasuk tidak
mempertikaikannya.
"Apa yang ditegaskan Takiyuddin itu benar, jadi Pas perlu
mempertahankannya dan saya harap semua ahli serta pemimpin Pas
beristiqamah terhadap perkara ini.
"Jangan menukar pendirian ini sama seperti yang dilakukan
pemimpin-pemimpin parti sebelum ini berhubung beberapa isu lain pernah
yang dibangkitkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Takiyuddin meminta Karpal supaya tidak memberi kata dua
kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menyokong hasratnya
untuk meminda Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status
agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
Mohamed Hafiz yang juga bekas Ketua Pemuda Pas negeri dalam pada itu
turut menyuarakan rasa pelik beliau terhadap hilangnya suara-suara para
pemimpin Pas berhubung isu tersebut.
"Mana pergi pemimpin atasan Pas? Kenapa hanya Penolong Setiausaha
Agung sahaja yang mengeluarkan kenyataan, mana hilangnya Setiausaha
Agung dan pemimpin tertinggi parti yang lain?" soalnya.
Selain itu tegas beliau, tindakan Karpal yang mahu mengusulkan
pindaan terhadap Perkara 12 (4) berkenaan seolah-olah menunjukkan sikap
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu yang tidak menghormati Perlembagaan.
"Pembentangan rang Undang- Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah
Persekutuan) 2013 sudah ditarik balik, jadi apa lagi yang mahu
diusulkan?
"Apakah Karpal cuba mengambil kesempatan di atas kegagalan Barisan
Nasional (BN) mendapatkan dua per tiga kerusi di Parlimen dengan
membangkitkan isu sensitif seperti ini?
"Kalau inilah sikap sebenar beliau, saya melihat Karpal ini seorang
yang 'bahaya' untuk keharmonian negara berbilang bangsa seperti
Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment