Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan semakan semula kehakiman difailkan pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee berhubung keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan mereka dijamin.
Peguam Chong Joo Tian yang mewakili Tan dan Lee memberitahu pemberita hari ini bahawa kes itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin.
Kedua-dua mereka yang didakwa atas tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan Ramadan serta mempamerkan gambar lucah di laman sosial Facebook mengemukakan permohonan tersebut Jumaat lepas.
Mereka mendakwa Hakim Murtazadi Amran melakukan kesilapan kerana tidak membenarkan mereka diikat jamin, dan ia adalah bertentangan dengan undang-undang.
Menerusi alasan permohonan, Tan, 24, dan Lee, 25, mendakwa mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, dan hujah pihak pendakwaan bahawa mereka mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesalahan yang sama sekiranya diberikan jaminan, adalah tidak berasas.
Dakwa mereka lagi, segala peralatan komputer dan elektronik milik mereka telah dirampas oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan sekiranya terdapat risiko untuk berbuat kesalahan yang sama, mahkamah boleh menetapkan syarat di dalam jaminan untuk menegahnya.
Tan dan Lee turut menyatakan bahawa ahli keluarga mereka tinggal di negara ini, dan tidak memungkinkan mereka melarikan diri. Namun jika terdapat risiko sedemikian, pasport mereka boleh dikompaun atau dirampas sehingga perbicaraan selesai.
Pada 18 Julai lalu, Hakim Murtazadi tidak membenarkan Alvin Tan atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee atau Lee May Ling, 24, diikat jamin sementara menunggu perbicaraan, atas sebab kepentingan awam. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment