Jumlah Pengunjung

Tuesday 4 December 2012

KOMITED NAJIB BANTU PALESTIN !!!



Perdana Menteri mengumumkan sumbangan sebanyak RM3.10 juta (AS$1 juta) kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi Pelarian Palestin.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sumbangan tersebut perlu bagi membolehkan UNRWA membantu pelarian Palestin yang kini menderita teruk akibat diserang secara ganas oleh tentera Israel di Gaza.
“Sejak 30 tahun lalu setiap tahun kita menyumbang kepada UNRWA dan baru-baru ini kita sumbang RM1 juta kepada Tabung Kecemasan Gaza yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui Yayasan Keamanan Perdana.
‘‘Tahun lalu Malaysia menyumbang RM6.08 juta (AS$2 juta) untuk membantu menjelaskan kos operasi Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis jamuan makan tengah hari sempena Hari Perpaduan Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Timbalan Komisioner Hubungan Luar Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Dr. Abdullah Abdullah.
Sebelum ini Malaysia juga membantu menyediakan biasiswa kepada penuntut Palestin di negara ini, pembangunan sumber manusia menerusi program latihan dan penghantaran misi kemanusiaan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.
Mengulas lanjut, Najib berkata, sudah tiba masanya untuk pelbagai kumpulan utama di Palestin memulakan perundingan penyatuan tanpa sebarang syarat dengan segera.
Beliau menambah, langkah itu bertujuan menyelesaikan sebarang perbezaan politik demi kesatuan di kalangan mereka dan juga rakyat Palestin.
‘‘Perbalahan dan perpecahan bukan hanya akan memburukkan lagi keadaan tetapi juga membahayakan lebih banyak nyawa rakyat Palestin di Gaza," katanya.
Menurut Perdana Menteri, kedua-dua pihak perlu melihat konflik di utara Ireland dan selatan Filipina yang berjaya diselesaikan apabila kesemua pihak bersetuju untuk menunjukkan komitmen ke arah keamanan tanpa mengira perbezaan agama dan kawasan.
Katanya, walaupun masa yang diambil agak lama bagi menamatkan konflik tersebut tetapi akhirnya dapat dilaksanakan.
‘‘Saya percaya keamanan di Asia Barat boleh dicapai kerana apa yang kita mahukan hari ini bukan melihat satu penindasan dan kemusnahan yang berterusan tetapi masa depan yang lebih baik tanpa mengira negara dan agama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Member BSK