Paling terkesan, institusi yang menjadi naungan mahasiswa belajar dan mengejar cita-cita turut diheret dengan isu perbalahan yang tidak sudah.
Lebih tegar, institusi diaibkan dengan isu remeh yang boleh diselesaikan tanpa campur tangan orang luar atau menjadi isu negara.
Kata mereka, tindakan itu perlu dilakukan kerana suara mahasiswa dan hak kebebasan bersuara tidak pernah diambil peduli pengurusan institusi.
Persoalannya, adakah benar tuduhan itu atau mereka hanya mahu menyembunyikan agenda tertentu dengan aksi mengkucar kacirkan keharmonian kampus?
Benarkah institusi ‘merampas’ hak mereka sebagai mahasiswa?
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata institusi tidak pernah menyekat kebebasan bersuara atau apa saja hak mahasiswa asalkan mengikut saluran ditetapkan.
Beliau berkat, biarpun institusi sentiasa dilemparkan tanggapan cuba mengekang suara mahasiswa, mereka sentiasa bersikap terbuka dan boleh mendengar.
“Hak mahasiswa tetap menjadi hak mereka dan institusi tidak boleh menyekatnya, cuma hak diperjuangkan itu perlu benar dan selari dengan peraturan.
“Jika terdapat perlanggaran undang-undang atau norma, adakah institusi tidak berhak mempertahankan kebenaran?
“Dan, bagaimana pula hak institusi, mahasiswa lain yang tidak bersalah, masyarakat sekeliling dan sebagainya yang hak mereka ‘dicerobohi’ gara-gara sikap kurang bijak itu,” katanya.
Menyelar sikap mahasiswa yang cepat menjatuhkan tuduhan kepada institusi dan menggunakan isu sensitif sebagai senjata, katanya mereka perlu faham segala konteks sebelum bertindak membidas institusi.
“Adakah mahasiswa ini faham bahawa hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dengan perjanjian yang ditetapkan dalam setiap institusi adalah berbeza.
“Institusi tidak sesekali menyekat hak dan kebebasan untuk bersuara tapi perlu akur mereka tertakluk kepada peraturan dan perjanjian di institusi.
“Jangan timbulkan pertikaian, institusi tidak mempunyai hak untuk menyekat suara atau perbuatan mereka.
“Institusi berhak kerana mahasiswa berjanji mahu mematuhi peraturan ditetapkan menerusi perjanjian ditangani,” katanya yang hairan mengapa isu kebebasan bersuara atau politik perlu dijadikan polemik hangat untuk menghentam institusi.
“Tidak perlu melenting kerana semua orang tahu mereka mahukan kebebasan melahirkan pandangan, rasa hati dan mengkritik. Bersuara memang tidak salah.
“Yang salah apabila tindakan itu sampai ‘menghuru-hara’ dan melagakan semua pihak sedangkan institusi perlu menjadi satu tempat berkecuali dari sebarang isu melainkan soal pendidikan.
“Malangnya, keterujaan mereka menjadikan universiti terjebak dan terheret dalam polemik isu tidak berkaitan hingga menimbulkan konflik dengan pihak tertentu,” katanya.
Isu kebebasan mutlak bersuara dan berpolitik yang sentiasa dimainkan mahasiswa ternyata menjadi isu paling digemari untuk diprovokasi hingga mengeruhkan suasana.
Golongan itu juga dilihat aset paling bernilai yang boleh dipergunakan pihak tertentu demi kepentingan peribadi sekali gus menimbulkan kebimbangan mereka dipergunakan.
Lebih ironik, apabila sebahagian besar yang melaungkan erti perjuangan itu kurang berpengetahuan sebaliknya hanya menjadi ‘pak turut’.
“Mereka memang tidak arif dan melakukannya sebab mengikut ajakan rakan, mahu berseronok dan mungkin diberi sedikit ganjaran.
“Bayangkan betapa tidak matangnya cara mereka berfikir sedangkan mereka bergelar mahasiswa yang belajar di institusi pengajian tinggi.
“Mungkin ada yang tahu tapi soalnya berapa ramai manakala yang lain apakah fungsi mereka, adakah sebagai tukang sorak atau provokasi?,” katanya.
Beliau tidak menolak hak bersuara dan berpolitik itu sebagai proses pembelajaran praktikal.
“Bagaimanapun, proses pembelajaran yang baik tidak pernah menyuruh mahasiswa berdemonstrasi, melawan undang-undang dan mencemarkan nama institusi.
“Cuba lihat apa mereka lakukan? Adakah dengan tindakan itu boleh memberitahu masyarakat bahawa mereka memperoleh proses pembelajaran yang baik?,” katanya
Beliau menggesa mahasiswa negara ini berfikir panjang dan tidak mudah terpengaruh dengan hasutan atau gelora emosi.
Berdasarkan pemerhatian, beliau tidak menolak pendekatan digunakan itu akibat terikut-ikut budaya mahasiswa luar.
“Tapi di negara luar tindakan itu dikira satu kredit khidmat komuniti. Mereka melakukannya kerana terdesak dan kelangsungan hidup.
“Di sini tidak begitu, jadi mengapa perlu berdemonstrasi dan saman menyaman semata-mata memperjuangkan isu yang masih boleh diselesaikan dengan berbincang.
“Institusi tidak pernah menutup pintu untuk tujuan itu, cuma biarlah beradat dan beretika,” katanya.
No comments:
Post a Comment