Muslim sentiasa doa keselamatan, kemenangan umat Islam lain apabila ditindas
Jumaat lalu, ribuan umat Islam di seluruh negara menunaikan solat Jumaat dengan bacaan qunut Nazilah dan solat hajat, mendoakan keselamatan penduduk Palestin yang berdepan dengan kekejaman Israel. Serangan rejim Yahudi itu selama seminggu sehingga gencatan senjata Khamis lalu, mengorbankan lebih 100 penduduk Gaza termasuk kanak-kanak dan warga tua selain mencederakan ratusan yang lain.
Doa kesejahteraan saudara seagama
Sebagai umat Islam, kita diajar sejak kecil supaya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saudara seagama yang dizalimi atau ditimpa musibah. Kerana itu, sejak dulu lagi, jemaah Jumaat di seluruh dunia sering mendoakan keselamatan dan kemenangan umat Islam apabila mereka ditindas atau dizalimi sama ada di Palestin, Iraq, Afghanistan, Myanmar dan Thailand.
Selain itu, kita juga diajar supaya berdoa setiap kali selepas solat untuk kebaikan diri, keluarga, sahabat dan sesama Islam. Malah kita juga digalakkan berdoa kepada bukan Islam supaya mereka diberi taufik dan hidayah oleh Allah. Jelas sekali doa memainkan peranan penting dalam kehidupan umat Islam bagi mendapatkan pertolongan Allah.
Bagaimanapun, sebahagian besar ulama sejak dahulu lagi sependapat bahawa doa seharusnya digunakan untuk tujuan yang baik dan membina, bukan untuk menakutkan orang ramai, apa lagi mendoakan kemusnahan saudara seagama. Kebanyakan ulama muktabar melarang keras tindakan mendoakan kemusnahan dan kehancuran sesama Islam, berdasarkan beberapa peristiwa yang membabitkan Rasulullah sendiri pada zaman awal kedatangan Islam.
Oleh kerana itulah, bukan saja ramai umat Islam, malah rakan-rakan bukan Islam keliru dengan tindakan PAS yang mengadakan solat hajat dan berdoa supaya UMNO hancur di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat minggu lalu. Doa yang dipimpin oleh adik Mursyidul Am PAS, Nik Razi Nik Mat sempena perhimpunan anjuran parti itu antara lain meminta UMNO dan BN dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati.
Bagi mereka yang sudah masak dengan politik PAS, peristiwa di Stadium Sultan Muhammad IV itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Doa seumpama itu daripada ‘ulama’ PAS juga bukan perkara baru, malah hampir seusia dengan Amanat Haji Hadi, sembahyang dua imam serta ‘fatwa’ haram memakan sembelihan atau tidak sah nikah, oleh orang UMNO.
Peristiwa itu sebenarnya membawa hikmah tersendiri bukan saja kepada UMNO tetapi bagi umat Islam dan bukan Islam di negara ini yang boleh berfikir secara rasional. Selain mendedahkan betapa bencinya PAS kepada UMNO, ia turut membuktikan betapa konsistennya PAS dan pemimpin mereka dalam menyalahgunakan agama untuk memenangi pilihan raya dan mendapatkan kuasa politik.
Sepanjang ingatan kita, belum pernah terdengar doa pemimpin UMNO atau BN, sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad hinggalah sekarang, meminta kehancuran PAS walaupun mereka dilemparkan dengan pelbagai tuduhan termasuk murtad.
Doa kemusnahan PAS itu juga menimbulkan tanda tanya baru kepada bukan Islam terutama kepada penyokong DAP dan Parti Keadilan Rakyat. Jika PAS sanggup mendoakan kemusnahan saudara seagama dalam UMNO dan BN, dengan hanya bersandarkan satu nas yang dipetik di luar konteks, apakah pula doa dan tindakan PAS terhadap pemimpin dan penyokong kedua-dua parti itu jika ditakdirkan ‘mutaah’ mereka sekarang berakhir.
No comments:
Post a Comment