Jumlah Pengunjung

Friday 14 December 2012

MAKIN RAMAI JANDA-JANDA SELANGOR SAMAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR !!!

SEBAHAGIAN daripada 3,011 ibu tunggal berkumpul semasa hadir memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 12 Dis. - Sebanyak 3,011 ibu tunggal mengemukakan saman terhadap Kerajaan Parti Keadilan Rakyat Selangor bagi menuntut tunggakan elaun bulanan berjumlah RM16.3 juta yang dijanjikan dalam manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Kamarudin & Partners bagi pihak kesemua ibu tunggal berkenaan yang diketuai oleh Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Hulu Langat, Zainarini Mohd. Sidek di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 9.40 pagi hari ini.
Mereka selaku pihak plaintif menamakan kerajaan negeri Selangor sebagai defendan pertama dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri defendan kedua.
Dalam saman tersebut, plaintif mendakwa, defendan pertama telah berjanji kepada rakyat Selangor termasuk ibu tunggal untuk memberikan mereka elaun bulanan sekiranya parti pembangkang memenangi pilihan raya umum 2008.
Menurut mereka, berdasarkan manifesto defendan pertama itu, setiap ibu tunggal di Selangor layak menerima elaun daripada defendan pertama.
Pihak plaintif meletakkan setinggi harapan ke atas manifesto defendan pertama sebagai tempat pembelaan kebajikan hidup mereka melalui elaun yang dijanjikan kepada ibu tunggal tetapi sehingga kini kerajaan negeri gagal mewujudkan satu skim untuk membayar elaun kepada ibu tunggal.
Dakwa mereka, defendan kedua telah menyalahgunakan kuasanya apabila tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan defendan pertama membuat bayaran kepada mereka dan golongan ibu tunggal di Selangor.
Oleh itu, pihak plaintif menuntut sebanyak RM100 sebulan bagi setiap 3,011 ibu tunggal itu bagi tempoh 54 bulan iaitu dari 1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012, menjadikan jumlah kesemua tuntutan mencecah RM16.3 juta daripada defendan pertama selain daripada kos.
Mereka juga memohon suatu perintah mengkehendaki defendan pertama mewujudkan satu skim dikenali sebagai Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor yang mempunyai garis panduan antaranya bayaran elaun minimum RM100 sebulan, mengadakan borang permohonan bayaran elaun ibu tunggal dan kaedah mendapatkan serta memulangkan borang permohonan.
Turut dituntut ialah suatu perintah yang mengkehendaki defendan pertama dan kedua melantik sebuah jabatan atau agensi defendan pertama menguruskan Skim Bantuan Ibu Tunggal Selangor.
Selain itu, pihak plaintif memohon deklarasi takrifan ibu tunggal ialah wanita berusia 18 tahun yang telah bercerai, balu, wanita pencari nafkah kepada keluarga, hidup berjauhan dari suami dan di dalam keadaan 'gantung tidak bertali'.
Pasa 22 November lalu, sekumpulan 2,020 ibu tunggal turut memfailkan saman tuntutan terhadap kerajaan negeri dan Menteri Besar bagi menuntut elaun bulanan tertunggak yang kesemuanya berjumlah RM10.9 juta.
Sementara itu, peguam Kamarudin Ahmad yang mewakili pihak plaintif memberitahu pemberita, kesemua ibu tunggal itu datang dari 11 kawasan Parlimen iaitu Shah Alam, Tanjong Karang, Hulu Langat, Kota Raja, Klang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Subang, Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam.
Hadir sama, Penyelaras Tuntutan Ibu Tunggal Selangor, ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz dan Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Mortini Kasman dan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Ali Baharom.
Mortini berkata, beliau mewakili ibu tunggal seluruh Selangor berasa kecewa dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Sains Teknologi & Inovasi dan Kebudayaan Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail baru-baru ini, yang menuduh beliau hanya berlakon dan menjadi kuda tunggangan pihak tertentu dalam membuat tuntutan elaun tersebut di mahkamah.
"Kami ibu tunggal tidak berlakon dan jadi kuda tunggangan sesiapa, ibu tunggal adalah insan yang gigih berusaha selepas kehilangan suami, Rodziah boleh berkata apa sahaja kerana beliau tidak merasa apa yang kami rasakan," ujarnya.
Sementara itu, Johan mencabar mereka yang menuduh pihaknya membuat tuntutan menggunakan senarai ibu tunggal yang diragui agar menyaman beliau di mahkamah.
"Kita ada butiran terperinci ibu tunggal yang menuntut elaun daripada pihak kerajaan negeri dan mereka semua masih hidup, saya cabar mereka untuk saman kami demi kebenaran.
"Selepas ini ada ibu tunggal daripada kaum Cina dan India berminat membuat tuntutan dan kami akan ke kawasan Gombak, Cempaka di Ampang dan Petaling Jaya Selatan untuk membantu kesemua ibu tunggal yang berjumlah hampir 30,000 orang bagi mendapatkan hak mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment

Member BSK