Jumlah Pengunjung

Wednesday 30 January 2013

Tarikh PRU 13 ada kt sini !!!



Apabila berhadapan dengan isu politik, saya kadang2 teringat lirik lagu nyanyian R Azmi: "Cakap salah tak cakap salah, jadi semua serba salah".

Ada masa teringat pula kisah nasihat Lokman Hakim, seorang bijaksana zaman silam kepada anaknya mengenai tabiat manusia yang suka cari salah orang lain.

Cerita Lokman nanti saya ulas di bawah. Tetapi mengenai politik, kita terpaksa mengakui di Malaysia (dan di beberapa negara) apa sahaja yang boleh dipolitikkan, akan dipolitikkan.

Kalimah ALLAH jadi isu politik, lawatan perdana menteri ke Gaza dipolitikkan, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) jadi pertelingkahan politikus, isu Amanat Haji Hadi, yang didakwa berpunca daripada ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Banggol Peradong, Kuala Terengganu, 32 tahun lalu, tak habis-habis dipersoalkan.

Isu hudud lagilah hebat. Yang terbaharu adalah isu pengguguran bekas Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa daripada Majlis Syura Ulama dan daripada pencalonan untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini, serta isu William Yau Zhen Zhong, budak 6 tahun yang hilang pada Januari 16 di Putra Heights, sebelum mayatnya ditemui dekat jeti Sungai Klang, Pelabuhan Klang, Khamis lalu, 30 kilometer dari parit yang dikatakan dia jatuh, antara lain.

Sekarang dalam kalangan media dan orang politik, orang sedang mencari jawapan pula siapakah dua menteri, seorang menteri besar dan seorang ketua menteri yang, seperti dilaporkan secara eksklusif oleh Sinar Harian, dinasihatkan jangan bertanding pada PRU akan datang kerana berhadapan dengan masalah di bawah siasatan SPRM.

Isu teratas yang menjadi tumpuan semua orang tentulah yang berkaitan dengan PRU13; bila akan diadakan dan siapakah di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) akan menang?

Apakah BN boleh mempertahankan kepimpinannya yang sudah berakar selama 55 tahun itu? Atau dunia akan dikejutkan dengan pengambilan alih kuasa oleh pakatan pembangkang yang dikongsi oleh Pas, PKR dan DAP?

Lebih terbaharu setakat ini ialah mengenai apa yang dikatakan isyarat paling jelas mengenai hasrat BN mengadakan PRU13, iaitu pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia kedua (BR1M 2.0) oleh perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak dijadualkan melancarkan pemberian RM500 kepada mereka yang layak menerima BR1M kedua tersebut.

Dilaporkan bantuan itu akan member manfaat kepada tujuh juta anggota keluarga dan perseorangan.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dilaporkan berkata, bantuan itu akan diberikan mulai bulan hadapan dan berakhir Mac.

Jadi bilakah PRU13 akan berlangsung? Bila pula agaknya perdana menteri akan membuat pengumuman mengenai 'pesta' yang sangat dinanti-nantikan itu?

Sebenarnya, saya sudah mendapat tahu daripada sumber tentang bilakah pembubaran Parlimen akan diumumkan oleh perdana menteri untuk memulakan proses pilihan raya.

Saya akan dapatkan pengesahan sebelum berkongsi dengan pembaca-pembaca budiman sekalian; barangkali dalam salah sebuah rencana yang akan datang.

Buat masa ini, kita renungkan dahulu kisah Lokman, seperti yang saya janji di atas tadi.

Lokman membawa anaknya dan seekor keldai ke beberapa kawasan di sebuah pekan. Anaknya menunggang keldai, sementara Lokman berjalan di sisinya.

Sampai di sebuah kawasan, Lokman dan anaknya mendengar beberapa orang mencemuh.

"Sungguh tidak beradab budak ini", kata seorang daripada mereka. “Bagaimana sanggup dia tunggang keldai dan biar orang tua itu berjalan,” kata salah seorang daripada lelaki di situ.
 
Lokman pun menyuruh anaknya berjalan dan Lokman pula menunggang keldai.

Apabila tiba di kawasan lain, seorang daripada yang berkumpul itu bersuara: “Apa masalah orang tua ini? Budak disuruh berjalan, dia yang tunggang keldai,” .

Lokman kemudian mengajak anaknya menunggang keldai bersamanya.

Tiba di sebuah tempat lain, orang di situ berkata: “Tidak berperikemanusiaan betul kedua manusia ini. Sanggup mereka mendera haiwan kecil itu”. Maka Lokman dan anaknya pun turun dan berjalan, membiarkan keldai itu berjalan di sisi mereka.

Kata pula orang di situ: “Bodoh betul kedua orang ini. Ada kenderaan tidak digunakan.” Di kampung terakhir, Lokman mengikat keempat-empat kaki keldai itu, meletakkan pengandar dan mengusung binatang itu.

Sampai sahaja di sebuah tempat, sekumpulan orang di situ terbahakbahak melihat mereka.

“Gila agaknya kedua orang ini? Bukankah keldai itu boleh berjalan sendiri. Mengapa pula mereka mengusungnya?

Setelah mereka beredar dari situ, Lokman pun bertanya: "Kamu sudah dengar apa kata orang-orang tadi kan, wahai anakku?". Moral di sebalik peristiwa itu ialah, jika kita mahu ikut pendapat orang, akan ada sahaja yang tidak selaras dengan apa yang kita buat.

Justeru, apabila kita lakukan sesuatu, lakukanlah berdasarkan apa yang diredai ALLAH......



No comments:

Post a Comment

Member BSK