Jumlah Pengunjung

Wednesday, 10 April 2013

AMARAN KERAS DARI POLIS PERAK UNTUK SEMUA !!!




Polis Perak mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh atau taksub untuk bertaruh keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan datang walaupun dijanjikan habuan lumayan oleh sindiket perjudian haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bersekongkol dengan sindiket seumpama itu.

Polis, katanya, akan mengambil tindakan tegas terhadap individu, sindiket dan penaja pertaruhan yang didapati terlibat dalam kegiatan haram itu termasuk menahan serta mengheret mereka ke mahkamah.

"Sehingga kini, polis belum menerima aduan mengenai wujudnya sindiket perjudian membabitkan pertaruhan keputusan pilihan raya di Perak, namun kita sedang memantau dan akan menyiasat setiap maklumat berkaitan dengan bookie," katanya kepada ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis bertanggungjawab memastikan pilihan raya akan datang berjalan lancar dan tidak mengandungi sebarang elemen perjudian dan pertaruhan.

"Pemantauan dan risikan secara agresif akan dijalankan bagi mematahkan kegiatan sindiket haram itu agar tidak terus-menerus meracuni fikiran orang ramai supaya bertaruh, sekali gus mengganggu proses pilihan raya," katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menjadi mata dan telinga kepada polis dengan melaporkan dan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram itu.

Katanya, individu terbabit kegiatan pertaruhan boleh didakwa mengikut Seksyen 63 Akta Pertaruhan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.


No comments:

Post a Comment

Member BSK