Ketua Kaum India Parti Keadilan Rakyat (PKR) Permatang Pauh, N. Ponnusamy membuat laporan polis selepas menerima ugutan berikutan kenyataannya yang mendakwa isu video seks melibatkan Nurul Izzah Anwar didalangi kem penyokong Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Ponnusamy, 43, berkata, ugutan itu diterima menerusi panggilan telefon pada pukul 8.23 malam tadi daripada seorang lelaki tidak dikenali yang mendesaknya berhenti mengeluarkan kenyataan terhadap Azmin.
"Saya tidak ambil kisah sangat dengan panggilan yang saya terima malam tadi ketika sedang makan yang minta saya tidak terus kaitkan Azmin dengan video seks berkenaan atau saya akan dapat susah.
"Tetapi saya terpaksa membuat laporan polis kerana kereta saya turut diconteng dengan kata-kata ugutan yang berbunyi 'cpt (cepat) mungkin dpt (dapat) peluru'," katanya ketika ditemui pemberita sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di sini pada pukul 11.30 pagi ini.
Menurut Ponnusamy, tulisan tersebut dibuat di bahagian pintu sebelah kanan kereta yang diletakkan dalam garaj di rumahnya di Kampung Bagan Serai di sini sejak pukul 11.30 malam tadi.
Katanya, dia juga terpaksa membuat laporan polis berikutan bimbang keselamatan isteri dan tiga anaknya yang berusia antara 10 hingga 19 tahun.
"Saya tidak syak sesiapa buat ugutan ini kerana dalam situasi politik sekarang sesiapa saja mungkin ambil kesempatan untuk bertindak demikian.
"Tetapi mungkin juga ugutan ini ekoran kenyataan saya di dalam akhbar semalam yang dianggap memburukkan nama Azmin dan dibuat bagi mengelakkan saya terus mengaitkan namanya," katanya yang memegang jawatan itu sejak 2008.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Azman Abd. Lah mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
No comments:
Post a Comment