Jumlah Pengunjung

Friday, 12 April 2013

SIFAT-SIFAT ULAMA YANG TIDAK ADA PADA NIK AZIZ DAN PEMIMPIN PAS !!!




Seperti mana yang sering disebutkan sebelum ini, sikap ulama salaf ketika berhadapan dengan fitnah atau kekacauan adalah mereka sentiasa menganalisa dan tidak terburu-buru di dalam apa jua tindakan dan ucapan mereka.
Mereka juga sentiasa merasa bertanggungjawab di atas setiap perkataan yang akan mereka ungkapkan, yakni akan berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata atau menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan kepada mereka.
Seorang Ulama salaf yang masyhur menulis tentang Adab iaitu Ibnu Abid Dunya mempunyai satu kitab yang berjudul Al-Shamt (Diam). Di dalam kitabnya itu terdapat sebuah tajuk,
باب قلة الكلام والتحفظ في النطق
“Bab Kurangnya Bercakap dan Menjaga Perkataan yang Diungkapkan”
Perbanyakkan Istisyarah
Islam menuntut umatnya supaya bermesyuarat atau berbincang sebelum berpegang dengan sesuatu. Disebabkan itu, walaupun Nabi sallallahu ‘alaihi wasallammerupakan utusan Allah dan menyampaikan wahyu, dapat kita perhatikan bahawa Baginda merupakan orang yang paling banyak bermesyuarat sebelum membuat sebarang keputusan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
وَشَاوِرْهُمْ فِي اْلأَمْرِ
“Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam apa jua urusan.” (Surah Ali Imran, 3: 159)
Bahkan ada surah khusus di dalam Al-Quran yang bernama surah Asy-Syura. Al-Imam Al-Hasan Al-Bashri, seorang tabi’in agung yang terdiri dari kalangan salaf pernah menyebut,
والله مَا تَشَاوَرَ قَوْمٌ إِلَّا هُدُوا لِأَرْشَدِ أَمَرِهِمْ
“Demi Allah tidaklah bermesyuarat sesuatu kaum melainkan mereka akan mendapat petunjuk bagi melaksanakan urusan mereka” (Al-Adab , Ibnu Abi Syaibah)
Kemudian beliau membaca firman Allah,
وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ
“Dan Allah memerintahkan agar mereka melakukan bermusyawarah di kalangan mereka.” (Surah Asy-Syura, 42: 38)
Maka apabila kita melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala ini, yakni bermesyuarat, bererti kita akan mendekatkan diri dengan keredhaan Allah dan ini juga bererti ianya akan mendekatkan diri kita dengan kebenaran dan kebaikan.
Demokrasi bukan Syura
Walaubagaimanapun, ada salah faham di kalangan masyarakat kita pada hari ini tentang Syura yang perlu kita luruskan. Hakikatnya, prinsip Syura bukan bergantung pada majoriti, tetapi ia bergantung kepada hujah. Ikatannya adalah Al-Quran dan Hadis.
Contohnya, kalau ada seratus orang ahli Syura (yang terlibat dalam mesyuarat) mendatangkan hujah dari logik akal mereka, dan ada seorang sahaja yang membawakan hujah berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah, maka keputusan akan dibuat mengikut hujah seorang tadi yang berdalilkan dan merujuk kepada Al-Quran dan As-Sunnah, walaupun pendapatnya adalah minoriti.
Ada syubhat yang mengatakan bahawa di dalam peristiwa peperangan Uhud, ketika hendak memilih sama ada hendak berperang di dalam Madinah atau di luar Madinah, Nabi memberi pilihan mengikut majoriti. Itu adalah pilihan yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip dan dasar-dasar agama.
Adakah hadis tertentu yang menyatakan kelebihan berperang di dalam bandar Madinah? Adakah ayat Al-Quran yang melarang berperang di dalam bandar Madinah? Tidak ada nas yang menjelaskan perkara itu. Maka disebabkan itu Nabi memberikan pilihan.
Tetapi kalau sudah ada nas dari Al-Quran dan Hadis, tidak boleh bagi kita untuk membuat keputusan mengikut majoriti. Sebab itulah kita sering menegaskan bahawa sistem syura ini berbeza sama sekali dengan demokrasi. Walaubagaimanapun ada dua perkara yang merujuk kepada Syura;
1)      Berkaitan prinsip dan dasar agama – harus mengikuti apa yang ditetapkan di dalam Al-Quran dan Hadis, tidak meraikan majoriti
2)      Berkaitan hal keduniaan, contohnya pembinaan bangunan, perubatan, dan sebagainya – bergantung kepada hujah dan kepakaran ahli mesyuarat, serta meraikan majoriti.
Tawakkal setelah membuat keputusan
Harus diingat bahawa prinsip syura susulannya adalah tawakkal kepada AllahSubhanahu wa Ta’ala. Maknanya apa sahaja yang berlaku setelah keputusan dibuat hasil dari syura tersebut adalah diserahkan kepada Allah dan kita beriman kepada qadha dan qadar. Tidak timbul soal salah menyalahkan antara satu sama lain.
Sebab itu tidak benar apabila ada orang yang mengatakan bahawa demokrasi ini adalah sistem syura. Sebab demokrasi ini walaupun dipilih oleh majoriti, tetapi apabila berlaku keburukan atau sebarang masalah, akan ada pihak yang menyalahkan keputusan yang dibuat, walaupun mereka pada mulanya memilih berdasarkan majoriti.
Syura mengajar kita untuk bertawakkal, manakala demokrasi mengajar kita memberontak. Ini terbukti kerana keputusan majoriti tidak semestinya selari dengan Al-Quran dan Sunnah. Sekiranya majoriti adalah jahil, pengikut hawa nafsu, maka sudah semestinya keputusan yang dibuat itu juga menurut hawa nafsu semata-mata. Majoriti berhak memilih sesuatu yang dirasakan sesuai dengan kepentingan dan janji-janji yang ditaburkan. Namun apabila janji-janji itu tidak ditepati, mereka akan memberontak dan ingin mengubah keputusan. Berlaku salah menyalah, tuduh menuduh, rasa tidak puas hati, pertelingkahan dan sebagainya. Hal ini akan berterusan dan tidak berkesudahan.
Sebab itu kita mengatakan bahawa demokrasi bukan sistem syura dan tidak layak untuk dinamakan sebagai sistem syura.
Berbeza dengan konsep sistem syura yang diterjemahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya. Sebab itu Nabi bertawakkal walaupun berperang di luar Madinah. Baginda menghunus pedang dan memakai pakaian perangnya. Sama ada kalah atau menang, tidak berlaku salah menyalahkan antara satu dengan yang lain, cuma ianya berhak dijadikan sebagai pengajaran. Walaupun di dalam perang Uhud itu ramai sahabat Nabi yang syahid kerana turun dari bukit, Nabi tidak pernah menyalahkan keputusan mesyuarat. Sebaliknya sikap tidak mengikut keputusan mesyuarat itulah yang disalahkan.
Walaubagaimanapun, kesalahan para sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum ajmainadalah hasil dari ijtihad dan terlupa kerana mereka adalah manusia biasa dan terlupa pada perintah Nabi untuk terus berada di atas Jabal Rumah (Bukit Pemanah). Mereka turun akibat terlupa. Ini perbezaan yang besar antara syura dan demokrasi, adapun perinciannya banyak lagi.
Ulama Salaf sentiasa Istikharah Sebelum Beramal
الإستخارة قبل العمل
“Istikharah sebelum beramal”
Hal ini sangat jelas seperti mana di dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah, Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam mengajar kepada kita doa yang dibaca di dalam salat istikharah.
Begitu juga di dalam atsar, dari Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma beliau berkata,
إن الرجل ليستخير الله فيختار له ، فيسخط على ربه ، فلا يلبث أن ينظر في العاقبة فإذا هو قد خار له
“Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia memohon Allah untuk memberi pilihan kepadanya, maka Allah akan memberikan pilihan kepadanya.”
Jawapan istikharah tidak perlu kepada mimpi. Allah akan berikan pilihan kepada setiap orang yang beristikharah, berdasarkan kecenderungannya untuk melakukan sesuatu yang dia pilih atau sesuatu yang dia ragui, merasa mudah untuk melakukan sesuatu, maka itu sebenarnya adalah keputusan istikharah, yang akhirnya juga disusuli dengan tawakkal kepada Allah, yakni beriman kepada Qadha dan Qadar.
Menimbang antara Maslahat dan Mudarat
الموازنة بين المصالح والمفاسد
“Menimbang di antara kebaikan dan keburukan.”
Dengan membuat analisa dan menimbangtara antara kebaikan dan keburukan, serta melihat kepada kekuatan, kelemahan, peluang, dan halangan yang ada, dari situ kita akan nampak setakat mana kemampuan kita untuk melaksanakan sesuatu .
Mutharrif bin Abdillah bin Asy-Syikhkhir radhiyallahu ‘anhu berkata,
لئن لم يكن لي دين حتى أقوم إلى رجل معه مائة ألف سيف أرمي إليه كلمة فيقتلني ، إن ديني إذا لضيق
“Sekiranya tidak ada bagiku agama sehingga aku berdiri kepada lelaki yang bersama dengannya seratus ribu pedang, aku akan lemparkan kepadanya satu perkataan sahaja nescaya dia akan membunuhku. Sesungguhnya agamaku, jika begitu adalah sempit.”
Maksudnya jika dia tidak ada agama, dia akan bercakap ikut sesuka hati, dia tidak akan menimbang kemudharatan hasil dari perkataannya. Orang yang bercakap mengikut sesuka hati tanpa menimbang tara maslahat dan mudarat hendak digambarkan oleh Mutharrif ibn Asy-Syikhkhir sebagai tidak ada agama.
Sebagai contoh mudah, da’i dan mad’u ada fokus yang berbeza, ada masalah yang berbeza. Orang yang didakwahi atau penuntut ilmu yang datang ke kelas pengajian suka jika Ustaznya bercakap semua perkara yang dia hendak dengar. Ustaz pula melihat secara keseluruhan. Contohnya yang datang ke kuliah ada 100 orang, dan ada seorang yang bertattoo, hari pertama baru datang kuliah.
Orang yang datang ke kelas menyuruh Ustaz bercakap bab tattoo. Ustaz pula melihat bahawa kalau dia bercakap bab tattoo, mad’u itu akan lari. Sedangkan target Ustaz adalah hendak memberi dia faham dan dekat dahulu dengan kelas pengajian agama. Sebab itu dikatakan bahawa orang yang tidak menimbangtara antara maslahat dan mudharat, dia akan menyempitkan agamanya sendiri, bahkan ia boleh menyebabkan orang lain lari dari agama ini.
Wallahu a’lam
(SUMBER)

No comments:

Post a Comment

Member BSK