Jumlah Pengunjung

Tuesday 15 October 2013

SELEPAS UNTA KORBAN MENGAMUK KINI LEMBU KORBAN PULA MENGAMUK DI IPOH !!!



Ipoh: Seekor lembu betina yang sepatutnya dijadikan korban pada Aidiladha esok, naik minyak dan menyerang sekumpulan pelancong di sebuah gerai di Jalan Raja Muda Aziz, di sini petang, semalam hingga menyebabkan seorang pelancong warga emas cedera selain beberapa kenderaan rosak.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, lembu berkenaan yang dipercayai terlepas dari pusat penyembelihan di Falim, di sini, Jumaat lalu, tersesat hingga ke kawasan bandar raya dan menyerang orang ramai.


Saksi kejadian, A Maekaldas, 33, berkata, dia melihat lembu itu memasuki kawasan bandar yang sesak dengan kenderaan dan ketika sampai di depan gerai di Jalan Raja Muda, secara tiba-tiba haiwan itu menyerang pelanggan yang minum di beberapa meja di gerai berkenaan.

“Lembu berkenaan merempuh sekumpulan pelancong dari Singapura hingga menyebabkan meja terbalik dan seorang lelaki berusia 74 dari kumpulan pelancong terbabit terjatuh ketika mengelak serta cedera pada bahagian tangan.


“Kemudian lembu itu lari ke tengah jalan dan merempuh sebuah kereta Perodua Viva hingga menyebabkan cermin tingkap kereta itu pecah. Selain itu, lembu itu turut melanggar beberapa motosikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Polis Pekan Baru, di sini,” katanya ketika ditemui.


Menurutnya, melihatkan keadaan itu dia kemudian menghubungi beberapa rakan yang juga penjaga lembu untuk menangkapnya sebelum perkara lebih buruk terjadi.

“Lembu itu kemudiannya berjaya ditemui di Jalan Chung Thye Phin, di sini dan saya bersama beberapa rakan yang datang selepas dihubungi, berusaha menghalaunya masuk ke kawasan gereja berhampiran bagi mengepungnya.


“Sebaik terkepung, lembu itu kemudian ditembak dengan ubat pelali untuk menenangkan dan menangkapnya. Tidak lama selepas itu sepasukan penguat kuasa dari Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba untuk menangkap haiwan berkenaan dan terpaksa mengambil masa hampir dua jam sebelum berjaya memasukkannya ke dalam lori,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Member BSK