Zulfahmi sasar lima terbaik dunia
SUBANG - Pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin mensasarkan kelompok lima pelumba terbaik dalam kelas itu apabila membuat penampilan musim keempat dalam Kejohanan Motosikal Dunia FIM bermula April ini.
Zulfahmi yang sedang menikmati cuti selama dua bulan di kampungnya, Banting, Selangor, bakal kembali menyertai pasukannya, Red Bull KTM Racing bagi menjalani ujian tertutup di Sepanyol hujung bulan ini.
Penunggang berusia 21 tahun itu mengakui tidak sabar untuk kembali ke litar, didorong dengan keazaman dan kesungguhan yang lebih tinggi untuk mencapai apa yang dihajati musim ini.
"Saya sedar jangkaan terhadap diri saya semakin tinggi saban tahun, lebih-lebih lagi selepas menyertai pasukan juara dunia untuk Moto3.
"Pasukan tidaklah memberi terlalu banyak tekanan kepada saya, namun selepas mengharungi tiga musim penuh, tiada alasan lagi untuk kata saya tidak boleh melakukannya.
"Kalau dahulu saya bermula agak lewat dalam Moto3 berbanding pesaing-pesaing lain yang berlumba dengan enam atau tujuh tahun pengalaman.
"Itu bukan lagi halnya sekarang, kekurangan pengalaman bukan lagi alasan.
"Dengan rutin harian seperti latihan gim, menunggang 'motorcross' dan (motosikal) 'motard bike' yang saya lakukan sepanjang cuti untuk meningkatkan tahap kecergasan dan daya ketahanan fizikal, sasaran saya untuk memecah masuk lima tempat teratas musim ini bukan mustahil.
"Untuk itu, saya perlu mencabar untuk sebanyak podium mungkin. Tahap kecergasan yang saya miliki akan menentukan sama ada matlamat saya dapat dicapai atau tidak," kata Zulhahmi yang ditemui selepas menghadiri Siri Endurance Kapcai KBS-MAM di Sirkit Elite Speedway PLUS di sini, semalam.
Zulfahmi melakar pencapaian terbaik musim lalu dengan menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan selepas mengumpul 128 mata, dibantu dua podium pertama karier.
Dia juga berjaya menempah petak depan pertama kariernya di hadapan penyokong sendiri ketika berlangsungnya GP Malaysia di Sepang, 20 Oktober lalu.
Namun, malangnya, Zulfahmi tidak berjaya melengkapkan kegembiraan berganda sempena hari jadi ke-21 apabila ditewaskan oleh juara dunia Sandro Cortese pada lencongan kedua terakhir.
Zulfahmi menutup musim 2012 di Valencia, 11 November lalu dengan bergaya apabila mempamerkan kebangkitan sensasi untuk meraih tempat ketiga walaupun sekadar memulakan perlumbaan jauh di belakang, dari petak ke-17.
No comments:
Post a Comment