NEW DELHI 12 Jan. - Seorang wanita di negeri Uttar Pradesh, hari ini dikejutkan dengan berita bahawa anak lelakinya yang disangka sudah meninggal dunia, terlibat dalam kes jenayah rogol berkumpulan yang mencetuskan gelombang kemarahan di seluruh India.
Wanita tersebut merupakan ibu kepada suspek juvenil yang dituduh merogol dan membunuh seorang pelajar perubatan bersama lima lain di dalam sebuah bas pada pertengahan bulan lalu.
Dalam wawancara bersama Reuters, wanita tersebut menceritakan anak lelakinya itu meninggalkan rumah pada usia 11 tahun, dan sejak itu, dia tidak lagi bertemu dengan anaknya itu.
Berita penahanan anaknya itu nyata memberi kesan mendalam buat dirinya serta keluarga.
"Saya tidak menyangka anak saya akan melakukan perbuatan terkutuk itu. Saya tidak sanggup untuk berdepan dengan orang kampung, ia amat memalukan," katanya.
Wanita itu menjelaskan bahawa anaknya meninggalkan rumah untuk mencari pekerjaan di New Delhi dan sering mengirim wang berjumlah AS$11 (RM34.10) setiap bulan pada tahun pertama bekerja.
"Tahun berikutnya, anak saya tidak lagi mengirim duit dan hilang tanpa khabar berita, menyebabkan saya beranggapan dia sudah meninggal dunia," ujarnya.
Ibu kepada enam orang anak tersebut percaya anak lelakinya itu disihir untuk melakukan kejahatan berdasarkan tilikan seorang sami.
No comments:
Post a Comment