Selepas mengeluarkan fatwa politik yang disifatkan banyak pihak sebagai menyesatkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin biadab selepas mendakwa jika Nabi Muhammad SAW hidup kembali parti UMNO akan menentang Rasulullah.
Tuduhan liar itu dibuat selang tiga hari selepas Menteri Besar Kelantan berkenaan mendakwa, solat orang UMNO tidak mendapat pahala dengan alasan parti yang telah banyak mengembangkan syiar Islam di negara ini sejak lebih 50 tahun lalu tersebut mengamalkan dasar kebangsaan.
Lebih menyedihkan, dakwaan itu dibuat selepas Nik Abdul Aziz dengan bongkak mempertahan kenyataan solat orang UMNO tidak mendapat pahala sebelum disusuli tuduhan masjid yang dibina tidak memberi apa-apa makna kononnya atas alasan parti itu menolak Islam.
"Puak ini (UMNO) kalau Nabi Muhammad hidup balik, dia lawan," katanya semasa berceramah dalam majlis prahimpunan Kelantan Hijau di Jeli, Kelantan yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagaimana dipetik di blog, rbfonline.net hari ini.
Ini kali kedua Pas mengheret Rasulullah dalam kancah politik selepas Penolong Setiausaha I Dewan Pemuda Pas Pusat, Khairul Fahmi Mat Som menerusi Twitternya baru-baru ini berkata: "Kalau Nabi Muhammad masih hidup, mungkin video seks baginda pun UMNO akan keluarkan...Jahanam UMNO,".
Mengulas kontroversi terbaru itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, kenyataan dan perumpamaan terbaharu Nik Abdul Aziz yang menyifatkan UMNO akan menentang baginda merupakan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
"Nilaikan prinsip Pas dalam memperjuangkan Islam, di mana pendirian mereka berhubung penggunaan kalimah Allah sebelum ini?
''Sebagai Tok Guru, Nik Abdul Aziz patut berhenti menuduh semua orang menolak dasar Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot berkata, Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya menggunakan agama Islam serta mengaitkan Rasulullah SAW untuk mencapai matlamat politik.
Menurut beliau, tindakan Nik Abdul Aziz itu juga bertentangan dengan sikap sesetengah musuh Islam yang turut menghormati Rasulullah SAW.
"Islam tidak menggalakkan kita bercerita hal-hal keburukan seseorang yang sudah meninggal dunia apatah lagi sekiranya perkara itu melibatkan Nabi Muhammad SAW yang maksum," katanya.
No comments:
Post a Comment