MASYARAKAT Orang Asli suku Temiar yang tinggal di sebuah hutan di Pos Pulat menunjukkan parang dan sumpit sebagai amaran kepada Kerajaan Pas Kelantan yang cuba merampas tanah yang didiami untuk dijadikan Ladang Rakyat, di Gua Musang hari ini.
Lebih 20 keluarga masyarakat Orang Asli kaum Temiar yang
tinggal di Pos Pulat di sini kecewa dan merasa terhina apabila mereka yang selama ini hidup secara berpindah-randah dan meneroka hutan di Hulu Kelantan digelar penceroboh malah dihalau dari sebuah kawasan hutan yang telah diteroka sejak enam bulan lalu oleh Kerajaan Pas Kelantan.
Mereka mendakwa telah menerima surat daripada Kerajaan Pas Kelantan melalui
Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (Ladang Rakyat) yang
menganggap tindakan mereka meneroka tanah itu sebagai satu pencerobohan meskipun
ia adalah tanah adat yang telah dihuni sejak ratusan tahun dahulu.
Wakil mereka, A. Agogenaseh, 31, mendakwa, mereka meneroka tanah di situ untuk tujuan bercucuk tanam dan membina penempatan namun tiba-tiba sahaja tanah tersebut telah disodok oleh sebuah syarikat sejak sebulan lalu dan turut menerima surat pada 6 Mac lalu.
Sehubungan itu, Agogenaseh berkata, mereka merasa sangat terhina dan marah serta bersumpah akan mempertahankan hak itu daripada dirampas memandangkan kehidupan mereka selama ini bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan.
"Belum pernah ada Orang Asli di dunia ini yang meneroka kawasan hutan seperti ini tetapi tiba-tiba sahaja digelar penceroboh, nenek moyang kami sudah tinggal di sini sejak beratus tahun lalu tetapi kenapa hari ini kami dihalau dan dikatakan menceroboh.
"Dengan rasa marah dan kecewa, saya bersumpah akan mempertahankan hak kami di sini kerana di sinilah tempat kami dilahirkan dan dibesarkan serta di sini jugalah nyawa kami akan berakhir," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ketua masyarakat Orang Asli itu, Basri Abdullah, 33, berkata, Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya merasa malu kerana mendakwa mereka sebagai penceroboh sedangkan tanah tersebut telah dihuni oleh Orang Asli selama ratusan tahun.
"Saya hairan kenapa pemimpin mempercayai apa yang mereka dengar daripada Ladang Rakyat dan tidak datang ke sini untuk bertanya kepada kami apakah yang sebenarnya berlaku.
"Kami sudah berpindah di sini membina tempat tinggal dan bercucuk tanam yang
memang kami bebas lakukannya sejak dulu tetapi tiba-tiba sahaja sekarang kami
sudah digelar penceroboh walaupun orang asing yang datang sinilah yang sepatutnya digelar penceroboh kerana tiba-tiba sahaja sodok tanah kami," katanya.
No comments:
Post a Comment