Jumlah Pengunjung

Thursday, 3 January 2013

PELAKON LARI BOGEL ELAK DITANGKAP KHALWAT !!!

PETALING JAYA: Biarpun tubuh sekadar berbalut kain langsir, seorang pelakon lelaki drama mistik dan seram sanggup menyabung nyawa dengan menyeberangi balkoni di tingkat lima ke rumah jiran ketika melarikan diri daripada anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Ketika itu, dia cuba ditahan kerana berkhalwat dengan penolong penerbit rancangan itu di sebuah apartmen 10 tingkat, dekat sini, kira-kira jam 3 pagi kelmarin.
Pelakon itu dipercayai sudah beberapa kali datang ke apartmen wanita terbabit yang juga tunangnya sejak beberapa bulan lalu.
Malah, ketika ditahan wanita terbabit hanya memakai seluar pendek dan singlet yang menampakkan tubuhnya yang seksi, selain penemuan seluar dan baju pelakon lelaki berkenaan di biliknya.
Kelmarin, pelakon berusia 20-an terbabit menghubungi tunangnya apabila mengadu sakit kepala.
Simpati dengan rintihan tunangnya itu, wanita beusia 20-an yang juga pernah menjadi pengacara sebuah stesen televisyen, merelakannya datang walaupun sudah awal pagi.
Bagaimanapun, gelagat merpati dua sejoli itu yang mendakwa bakal bernikah tidak lama lagi, akhirnya menimbulkan kemarahan penghuni lain yang menghubungi pihak berkuasa agama.
Aduan yang dibuat lebih daripada sekali itu akhirnya memaksa penguat kuasa Jais menghantar lima anggota melakukan serbuan.
Penahanan pelakon dan penolong penerbit itu disahkan Ketua Unit Tindakan Khas (UTK) Jais, Shahrom Maarop, yang mengakui pihaknya terpaksa menanti kira-kira 10 minit sebelum wanita terbabit membuka pintu.
Beliau berkata, wanita terbabit yang hanya memakai singlet dan berseluar pendek mendakwa tinggal bersendirian di apartmen itu sebelum penguat kuasa melakukan pemeriksaan dalam bilik.
“Anggota penguat kuasa yang curiga dengan pengakuan wanita itu menjumpai seluar dan baju yang menunjukkan ada seorang lelaki turut tidur di situ.
“Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan seseorang meloloskan diri melalui balkoni apartmen berkenaan yang dipercayai memasuki rumah bersebelahan,” katanya.
Bagi mengelak pelakon terbabit melarikan diri, Shahrom berkata, anggota penguat kuasa Jais bergegas mengetuk pintu apartmen bersebelahan yang dihuni beberapa lelaki warga asing.
Mereka mendapati ada beberapa warga asing dan kelibat seorang lelaki yang hanya menutup dirinya dengan kain langsir berhampiran balkoni.
“Penguat kuasa menjalankan siasatan terhadap lelaki terbabit yang dipercayai cuba menyamar sebagai warga asing bagi mengelak ditahan.
“Bagaimanapun, helah itu tidak menjadi apabila percakapan dan warna kulit pelakon itu berbeza dengan penghuni warga asing di apartmen itu,” katanya.
Selepas menyedari helah tidak menjadi, Shahrom berkata, pelakon terbabit mengaku tidur di rumah wanita yang juga penolong penerbit drama yang dilakonkannya selain mengaku mereka sudah bertunang dan akan bernikah tidak lama lagi.
Pelakon terbabit turut mendakwa dia pening selepas selesai sesi penggambaran sebelum datang ke rumah tunangnya yang sebelum ini tinggal bersama seorang lagi rakan wanita di apartmen itu.
Beliau berkata, pasangan terbabit cuba merayu beberapa kali dengan memberi alasan akan berkahwin tidak lama lagi dan terbabit dengan program popular di televisyen.
Bagaimanapun, Shahrom berkata, alasan itu tidak diterima kerana ikatan pertunangan bukan tiket untuk melakukan maksiat.
“Yang menyedihkan, pelakon itu yang hanya membalut tubuhnya dengan kain langsir sanggup melompat ke balkoni rumah jiran untuk melarikan diri tanpa mengambil kira keselamatan diri.
“Begitu juga dengan penolong penerbit berkenaan yang berpakaian menjolok mata selain membenarkan tunangnya tidur di rumah itu.
“Kami masih menyiasat sama ada mereka sudah melakukan perkara yang ‘tidak sepatutnya’ kerana seluar dan pakaian lelaki berada dalam bilik tunangnya,” katanya.
Shahrom berkata, Jais membawa mereka pejabat agama untuk disoal siasat sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 29(1) a dan b, Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

No comments:

Post a Comment

Member BSK