Kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu semua parti politik
berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftarannya disifatkan sebagai
usaha terdesak mengalihkan perhatian umum daripada masalah yang dihadapi
DAP dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Timbalan Ketua Pemuda MIC Bukit Bintang, Datuk R. Ramanan berkata,
Karpal tidak sewajarnya membangkitkan isu baharu sebaliknya menjawab
segera mengapa pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang
diadakan parti itu September lalu masih belum disahkan ROS.
"Ketika dia mahukan parti-parti lain dibatalkan pendaftaran, saya
mahu ingatkan Karpal, adakah dia sedar sehingga ke hari ini, CEC parti
DAP masih lagi belum disahkan ROS.
"Adakah Karpal sangka masalah dalaman DAP telah selesai sedangkan
banyak ahli DAP telah membuat laporan kepada ROS kerana tidak berpuas
hati dengan cara pemilihan CEC dan pimpinan DAP," katanya ketika
dihubungi di sini semalam.
Semalam, Karpal bagai meludah ke langit selepas menyarankan semua
parti politik berasaskan kaum dan agama termasuk sekutu rapatnya, Pas
dibatalkan pendaftaran walaupun semua sedia maklum DAP cenderung
memperjuangkan nasib kaum Cina.
Menurut Ramanan, DAP ibarat terjerumus ke dalam permasalahan besar
berhubung krisis parti itu dengan ROS dan dilihat cuba mengheret
parti-parti pembangkang lain termasuk Pas untuk terlibat sama dengan
masalah mereka.
"Saya fikir Karpal patut fikir mengenai partinya sendiri, janganlah
mengutuk rumah orang kalau rumah sendiri pun bermasalah," katanya.
No comments:
Post a Comment