Pengawal
keselamatan yang disyaki menyamun kedai emas di pusat beli-belah KL
Festival City, Setapak, Khamis lepas, ditahan di Lapangan Terbang
Tambang Murah (LCCT), Sepang hari ini.
Lelaki rakyat Filipina berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 7 pagi
bersama seorang rakannya yang juga rakyat Filipina ketika menunggu
penerbangan untuk ke Sabah.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur,
Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kedua-dua lelaki yang didapati
menggunakan kad pengenalan palsu itu ditahan di sebuah restoran makanan
segera di lapangan terbang berkenaan.
"Suspek utama berusia 27 tahun itu mengaku melakukan samun di kedai emas
berkenaan. Hasil siasatan lanjut, satu serbuan dilakukan di sebuah
rumah di Pandan Jaya.
"Ia membawa kepada penemuan sepucuk pistol Smith and Wesson, lima butir
peluru, satu sarung pistol dan beberapa tag harga rantai,” kata Amar
Singh ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, suspek utama dan rakannya berusia 28 tahun itu
menggunakan kad pengenalan palsu atas identiti dua lelaki Melayu
tempatan.
Amar Singh berkata, dengan tangkapan itu, kes samun kedai emas
membabitkan seorang pengawal keselamatan kedai itu sendiri dianggap
selesai.
No comments:
Post a Comment