Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri 
(DUN) Sungai Limau, hari ini dijangka menyaksikan pertarungan sengit antara 
Barisan Nasional (BN) dan Pas yang akan mempertahankan kerusi tersebut.
BN meletakkan bekas pensyarah kanan Universiti Perguruan Sultan Idris
 (UPSI), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, 52 sebagai calonnya dan beliau akan 
bertarung satu lawan satu dengan calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat, 37.
Sebanyak 27,222 pengundi akan menentukan calon daripada parti manakah
 yang bakal 'ditabalkan' sebagai wakil rakyat baru kawasan itu berikutan
 kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri 
Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu.
Daripada jumlah pengundi tersebut, 25,323 pengundi atau 93.02 peratus
 terdiri daripada kaum Melayu manakala Cina (1,842 atau 6.77 peratus) 
dan India (15 atau 0.06 peratus).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Allahyarham Azizan menewaskan 
calon BN, Mohd.Fazillah Mohd.Ali dan dua lagi calon Bebas dengan 
majoriti 2,774 undi.
Walaupun pada awalnya, Pas dijangka mendapat laluan mudah untuk 
mengekalkan kerusi tersebut memandangkan DUN Sungai Limau dikatakan kubu
 kuat parti itu, namun BN dikatakan berjaya menembusi kubu itu khususnya
 melalui jentera Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. 
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, dari segi tahap sokongan 
setakat ini kedua-dua parti boleh dikatakan hampir terikat iaitu peluang
 untuk menang 50-50.
Berikutan itu, pemerhati politik melihat mana-mana parti yang menang hari ini, jumlah majoriti diramalkan di bawah 500 undi. 
BN masuk ke gelanggang dengan membawa slogan 'Berani Berhijrah' iaitu
 satu seruan untuk menggesa pengundi Sungai Limau khususnya orang Melayu
 berhijrah menyokong parti itu bagi membolehkan kawasan tersebut 
dibangunkan di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan, Datuk Mukhriz
 Tun Mahathir sebagai Menteri Besar.
Pas pula 'meminjam' slogan Pas Kelantan iaitu 'Kekal' dengan matlamat
 mempertahankan legasi politik parti tersebut di DUN berkenaan yang 
dikuasai oleh mereka sejak 1995.
Turut menjadi tumpuan dalam pilihan raya kecil ini ialah kedudukan 
pengundi Cina sama ada mereka akan mengekalkan pendirian seperti mana 
dalam PRU-13 lalu atau beralih arah dengan memberi sokongan kepada BN.
Kedudukan BN sebagai kerajaan negeri dijangka menjadi pertimbangan 
kepada pengundi Cina dalam membuat keputusan untuk memilih calon BN atau
 calon Pas.
Ketika Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan 
keyakinannya bahawa angin sokongan kini 'bertiup' ke arah BN, Pas pula 
melalui Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar yakin parti itu akan 
mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti tipis.
Apa pun penentuan akan dilakukan oleh 27,222 pengundi yang akan 
memilih antara Dr.Ahmad Sohaimi dan Mohd.Azam sekali gus memastikan 
mereka 'berhijrah kepada BN atau 'Kekal' bersama Pas.

No comments:
Post a Comment