Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah
Persekutuan hari ini bahawa pelantikannya oleh Peguam Negara untuk
mengetuai pihak pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar
Ibrahim adalah sah dan betul.
Beliau menggesa mahkamah tertinggi itu mengesahkan keputusan Mahkamah
Rayuan (COA) yang menolak permohonan Anwar untuk melucutkan
kelayakannya daripada mewakili dalam kes itu.
Muhammad Shafee, dalam hujahannya di hadapan panel lima hakim
Mahkamah Persekutuan berkata satu kenyataan direkodkan daripadanya
mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah semasa penyiasatan kes itu,
namun beliau tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan mahupun pihak
pembelaan untuk menjadi saksi.
Peguam kanan itu seterusnya berhujah ia hanya berupa dakwaan atau
andaian di pihak perayu dan peguam belanya Karpal Singh yang berhujah
bahawa beliau hadir pada masa yang sama dengan pengadu utama Mohd Saiful
Bukhari Azlan di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu
Timbalan Perdana Menteri.
"Isu tanggapan awam mengenai kehadiran saya di sana dan 112 kenyataan
seperti dihujahkan peguam bela, tidak ada kaitan dengan kes ini.".
"Mana bukti yang saya adalah saksi utama dalam kes ini? Ia hanya
andaian, lagipun saya hanya hadir di satu sudut rumah tanpa mengetahui
apa yang berlaku di sudut lain rumah itu," hujah Muhammad Shafee.
Beliau memberitahu panel hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan
Sri Md Raus Shariff bahawa pelantikannya oleh Peguam Negara Tan Sri
Abdul Gani Patail adalah betul dan sah dan dilakukan mengikut Seksyen
376(3) dan 379 Kanun Peosedur Jenayah.
Empat lagi hakim yang bersidang ialah Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan
Sri Ahmad Maarop, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Hasan Lah.
Sementara itu, Karpal memberitahu mahkamah tertinggi itu bahawa COA
telah terkhilaf apabila tidak memutuskan bahawa pelantikan Muhammad
Shafee adalah tidak sah dan patut dibatalkan.
"Seksyen 378 CPC adalah jelas bahawa hanya DPP (Timbalan Pendakwa
Raya) yang berkhidmat secara tetap dalam kerajaan boleh mewakili
Pendakwa Raya dalam rayuan kes jenayah.
"Pelantikan peguam bela secara sementara hanya boleh dibuat mengikut
Seksyen 379, tetapi bagaimanapun COA mendapati seksyen itu tidak relevan
dengan pelantikan peguam dalam kes rayuan," hujah Karpal.
Karpal juga meminta panel hakim mengambil kira kegagalan COA yang
tidak memutuskan bahawa Muhammad Shafee merupakan seorang saksi
berpotensi dalam kes liwat itu apabila beliau meletakkan dirinya dalam
kedudukan boleh menimbulkan konflik untuk melanggar Peraturan-peraturan
Profesion Undang-undang 1978.
Hakim Md Raus menetapkan 21 November untuk Mahkamah Persekutuan menyampaikan penghakiman terhadap rayuan Anwar.
Pada 17 September, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri Hakim
Mahkamah Persekutuan Datuk Ramly Ali dan dua hakim Mahkamah Rayuan,
Rohana Yusuf dan Datuk Mohd Zawawi Salleh sebulat suara menolak
permohonan Ketua Pembangkang itu untuk melucutkan kelayakan Muhammad
Shafee. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment