Kerajaan Pas Kelantan didesak berterus-terang sama ada bersungguh-sungguh melaksana hukum hudud di negeri ini atau sebaliknya.
Desakan tersebut dibuat rakyat negeri ini berikutan Jabatan Kehakiman
Syariah Kelantan mendedahkan pihaknya mempunyai kemudahan sekiranya
Kelantan ingin menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam masa
terdekat.
Seorang penduduk, Mustapha Mohd. Ali, 58, berkata, dia meminta
kerajaan negeri menjelaskan status sebenar pelaksanaan hukum hudud di
negeri ini selepas lebih 20 tahun memerintah namun masih gagal
dilaksanakan meskipun beberapa kali isu mengenainya dibangkitkan.
"Sekarang bukan lagi masanya Pas Kelantan hendak bermain tarik tali
dalam isu hudud ini. Mereka perlu tegas, beri penjelasan sama ada akan
laksanakan hudud atau sebaliknya. Kalau memang hendak buat, jelaskan
bila akan buat.
"Kalau masih ada perkara yang tidak lengkap, apa lagi perkara yang
tidak lengkap itu, mereka perlu jelaskan juga kepada rakyat," katanya
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagi Azman Ismail, 44, Pas Kelantan sering menimbulkan
kekeliruan dan tidak memuaskan hati rakyat ketika menjawab isu
pelaksanaan hukum Islam itu di negeri ini setiap kali dibangkitkan.
"Jawapan lazim mereka adalah tidak boleh tergesa-gesa, kena dapatkan
pandangan pakar undang-undang dahulu. Sudah lama rakyat dengar alasan
dan jawapan seperti ini," katanya.
Azman turut mempersoalkan, kredibiliti kerajaan negeri yang terpaksa
mengambil masa begitu lama untuk mendapatkan pandangan pakar
undang-undang bagi melaksana hukum tersebut sedangkan enakmen berkaitan
telah diluluskan sejak 1993.
Sementara itu, Rosli Shafen, 44, berpendapat, hudud Pas Kelantan adalah retorik semata-mata bagi menarik sokongan pengundi terhadap parti itu.
"Jika Pas betul-betul hendak laksanakan hukum itu mereka tidak perlu
tunggu hingga 25 tahun, tambahan sekarang ini mereka bersekutu dengan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, lagi menyukarkan mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment