Gereja Katolik memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu di
Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang
membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang penerbitan mingguan gereja
itu, The Herald, menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada "God".
Benjamin Dawson, seorang daripada peguam yang mewakili gereja itu
berkata, mereka memfailkan permohonan itu semalam di pejabat pendaftar
Mahkamah Persekutuan.
"Gereja mengemukakan 26 persoalan undang-undang dalam permohonan
kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Selasa.
Dawson berkata, soalan undang-undang itu melibatkan tiga perkara
iaitu persoalan perlembagaan, isu pentadbiran dan sama ada mahkamah
boleh membuat keputusan ke atas isu perbandingan agama.
Katanya, persoalan penting termasuk sama ada Islam, sebagai agama
Persekutuan, boleh mencabuli hak asasi dalam Bahagian II, Perlembagaan
Persekutuan khususnya hak untuk menganut dan mengamalkan agama mereka
dalam kumpulan agama minoriti.
Dawson berkata, satu lagi persoalan perlembagaan yang penting ialah
sama ada negeri boleh campur tangan dalam soal hak kumpulan agama dalam
mengendalikan hal ehwalnya sendiri.
Persoalan lain, katanya, ialah sama ada kekeliruan seperti didakwa
oleh kumpulan agama tertentu merupakan alasan untuk membataskan hak
kebebasan kumpulan agama yang lain.
Beliau berkata, persoalan mengenai undang-undang pentadbiran bertumpu
ke atas kuasa Menteri Dalam Negeri iaitu sama ada keputusan Menteri
Dalam Negeri atas alasan ancaman kepada keselamatan negara dan
ketenteraman awam dapat disemak semula oleh mahkamah.
Persoalan lain, katanya, adalah sama ada Mahkamah Rayuan boleh
melakukan penyelidikan di Internet dan membuat rumusan tertentu terhadap
isu perbandingan agama.
Beliau berkata, Gereja Katolik akan menyerahkan permohonan kebenaran
itu ke Jabatan Peguam Negara untuk diserahkan kepada Menteri Dalam
Negeri, kerajaan dan jabatan-jabatan agama negeri.
Dawson berkata, dijangka tarikh pengurusan kes akan ditetapkan dan
selepas itu tarikh untuk mendengar permohonan kebenaran merayu itu pula
akan ditetapkan.
Pada 14 Oktober, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim
Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara
membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang Herald menggunakan kalimah
"Allah".
Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah "Allah".
Pada 16 Februari, 2010, Gereja Roman Katolik diketuai Archbishop
Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan
Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, memohon antara
lain, diisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang
penggunaan kalimah "Allah" dalam penerbitan Herald adalah salah di sisi
undang-undang.
Penerbitan mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, telah
menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada "God" dalam Herald
edisi bahasa Melayu, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.
Pada 31 Disember, 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan
Kementerian Dalam Negeri melarang Herald daripada menggunakan kalimah
"Allah" adalah salah di sisi undang-undang, tidak sah dan batal. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment