Pengerusi DAP, Karpal Singh menempelak Naib Ketua Dewan Pemuda Pas
Pusat, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob yang menuduhnya berbohong
ketika menafikan pernah meminta supaya pendaftaran parti politik dan
badan profesional berdasarkan agama dan kaum termasuk Pas dibatalkan
kerana membahayakan negara.
Sambil memberi amaran supaya Raja Ahmad Iskandar berhati-hati dalam
membuat kenyataan, Karpal turut menuduh Raja Ahmad Iskandar berbohong.
"Raja Ahmad (Iskandar) sepatutnya lebih berani untuk mengeluarkan
keseluruhan transkrip yang akan menunjukkan saya merujuk supaya Pas
mengadakan unit yang dibarisi oleh penyokong bukan Islam yang bukan ahli
secara langsung, sekali gus mengecualikan Pas dalam organisasi politik
yang saya maksudkan," katanya seperti dipetik menerusi portal
propembangkang, Malaysiakini hari ini.
Semalam, Raja Ahmad Iskandar mendakwa mempunyai bukti Karpal
berbohong apabila menafikan beliau pernah meminta supaya pendaftaran
parti politik dan badan profesional berdasarkan agama dan kaum termasuk
Pas dibatalkan kerana membahayakan negara.
Beliau mendedahkan, bukti tersebut terkandung dalam cakera padat
rakaman penuh sidang akhbar selama 24 minit 47 saat yang dibuat Ahli
Parlimen Bukit Gelugor itu di Pulau Pinang, 5 November lalu.
Raja Ahmad Iskandar berkata, menerusi penelitian mereka terhadap
rakaman tersebut jelas menunjukkan Karpal telah berbohong apabila
menyatakan beliau tidak langsung menyarankan supaya Pas dibatalkan
pendaftarannya sedangkan yang sebenarnya adalah sebaliknya.
Dalam pada itu, Karpal berkata, tuduhan Raja Ahmad Iskandar itu
merupakan 'penipuan' (unadulterated lie) kerana dibuat berdasarkan
rakaman sidang akhbar yang tidak lengkap ketika beliau membuat kenyataan
mengenai isu tersebut.
Malah, Karpal menegaskan, Pas sepatutnya berterima kasih kepada
beliau berbanding mendesak supaya memohon maaf menerusi seorang ahli
politik yang digambarkan beliau tidak berpengaruh (minor politican)
seperti Raja Ahmad Iskandar.
No comments:
Post a Comment