Penumpang malang pesawat tambang murah AirAsia,
Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, menafikan menerima sebarang bantuan daripada
syarikat penerbangan itu selepas dia dan anaknya Maryam Sofea Mohd.
Reza, 14 bulan, dihalang menaiki pesawat di Ho Chi Minh, Vietnam untuk
pulang ke tanah air baru-baru ini.
Malah, kata Izan Suhaila, dia kecewa dengan sikap lepas tangan
AirAsia ketika berada di Vietnam dan berasa dipermainkan selepas hanya
menerima panggilan daripada syarikat penerbangan itu yang menawarkan
tiket percuma selepas selamat tiba di negara ini.
"Saya tegaskan di sini, tiada apa bantuan pun diperoleh daripada
syarikat AirAsia selepas saya dihalang menaiki pesawat penerbangan itu.
Tiada siapa yang membantu saya daripada syarikat berkenaan.
"Mereka (AirAsia) tidak langsung menawarkan sebarang bantuan, malah
saya terus mengambil teksi pada pukul 11 malam di negara berkenaan,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, malam ini.
Kenyataan Izan Suhaila itu berbeza dengan penjelasan Ketua Pegawai
Eksekutif AirAsia, Aireen Omar yang mendakwa, ibu malang berkenaan
menolak bantuan pihaknya kerana sudah menerima bantuan daripada pihak
lain.
Aireen seperti laporan Buletin Utama di TV3 malam tadi
berkata: "Pihak kami telah tawarkan bantuan kepada Suhaila Mohd. Alian,
termasuk balik dengan percuma pada ketika ini (itu), tetapi saya rasa
puan Izan (Izan Suhaila) telah dapat uruskan dengan pihak lain, jadi
kami hormati bantuan diberi pada masa dan hari yang sama."
Sementara itu, Izan Suhaila berharap kejadian yang menimpa dia dan
anaknya tidak berlaku kepada individu lain pada masa akan datang.
"Saya sedih dan tidak mahu bercakap mengenai AirAsia lagi. Apa yang
berlaku ini sesuatu yang tidak dapat diterima. Saya harap perkara ini
tidak berlaku kepada orang lain.
"Mujurlah saya ada ahli keluarga yang dapat membantu ketika saya dan
anak berada dalam kesulitan. Tetapi cuba bayangkan jika individu yang
terkandas itu tidak mengenali atau mempunyai sesiapa di negara orang
yang boleh diminta bantuan atau dihubungi," katanya.
Pada 18 Mei lalu, Izan Suhaila dihalang menaiki pesawat tambang murah
AirAsia, AK 1455 untuk pulang ke negara ini dari lapangan terbang Ho
Chi Minh, Vietnam dengan alasan anaknya, Maryam Sofea menghidap demam
campak.
Ibu berkenaan dan anaknya berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas
dibantu Malaysia Airlines System Berhad (MAS) dan Tourism Malaysia.
Sebelum ini, kakak Izan Suhaila, Norhamiza mempersoalkan kewajaran
AirAsia memaksa adiknya itu tinggal selama lima hari di Vietnam
sedangkan mereka langsung tidak memantau tahap kesihatan Maryam Sofea
apatah lagi membawa anak saudaranya ke hospital tempatan untuk rawatan
lanjut.
No comments:
Post a Comment