Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM)
akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)
serta Cyber Security Malaysia untuk mengambil langkah segera
membanteras penyaluran kandungan menyalahi undang-undang dalam media
sosial oleh kumpulan 'tentera siber' tertentu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah segera
itu bagi memastikan maklumat yang disampaikan oleh individu atau
kumpulan siber menerusi pelbagai media sosial seperti Facebook, Twitter
serta blog adalah telus dan benar.
"Apa yang menjadi rungutan adalah kandungan laman sosial dan blog
termasuk oleh kumpulan Red Bean Army adalah kerana kandungan itu
menyentuh perkara yang termaktub dalam Akta Hasutan dan (isu) perkauman
yang sensitif serta bersifat fitnah (iaitu) terkeluar daripada prinsip
undang-undang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai tindakan pelbagai
pihak menggesa kerajaan bertindak tegas memerangi anasir jahat di laman
siber seperti 'Red Bean Army' yang menggugat keharmonian rakyat
berbilang kaum di negara ini.
Pihak berkenaan turut mendesak pihak berwajib meminda Akta Komunikasi
dan Multimedia 1998 bagi menyekat fitnah dan hasutan yang cuba
dipromosikan kumpulan siber berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, dasar mengenai media sosial yang dicetuskan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah untuk memberi
kebebasan dan pendapat termasuk penubuhan 'cyber troopers' oleh parti
politik dan pihak tertentu.
Bagaimanapun, beliau berkata, prinsip dan dasar itu sewajarnya
dihormati berlandaskan tanggungjawab kepada negara serta undang-undang
dan ia tidak sepatutnya disalahguna.
"Ini yang cuba kita elakkan. Kita mahu SKMM dan Cyber Security
Malaysia dapat mengambil tindakan, bukan kerana kewujudan kumpulan
'cyber trooper' seperti 'Red Bean Army' tetapi disebabkan oleh kandungan
di dalam media sosial berkenaan yang dikendalikan mereka," katanya.
Beliau berkata, 85 peratus pengendali media baharu di negara ini
dikendalikan pihak pembangkang media sosial negara ini tanpa sekatan
dibuat oleh pihak kerajaan.
Apa yang menghairankan bahan-bahan yang dipaparkan kumpulan seperti
Red Bean Army ini dipercayai oleh golongan profesional, teknokrat dan
mereka yang berpendidikan tinggi, katanya.
No comments:
Post a Comment