Jumlah Pengunjung

Wednesday 3 October 2012

KERAJAAN SELANGOR RAMPAS TANAH YBK TIDAK SAH !!!

Kerajaan negeri Selangor hari ini menerima tamparan apabila Mahkamah Tinggi di sini membenarkan rayuan Permodalan Yayasan Basmi Kemiskinan Sdn. Bhd. (PYBK) untuk membatalkan keputusan Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor merampas dan menolak bayaran cukai beberapa bidang tanah milik YBK. Hakim Hadariah Syed Ismail membenarkan rayuan itu dengan kos RM20,000 selepas mendapati tindakan kerajaan negeri Selangor melucutkan hak ke atas empat blok tanah di Serendah, Rawang dan mengembalikan semula bayaran cukai kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) adalah salah di sisi undang-undang dan terbatal.

Dalam rayuan tersebut, PYBK yang merupakan anak syarikat YBK, diwakili oleh peguam-peguam, Hasnal Rezua Merican dan Kamarul Hisham Kamaruddin manakala Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor diwakili oleh peguam Edmund Bon.
Menurut Hasnal Rezua ketika dihubungi, mahkamah berpendapat keputusan Pentadbir Tanah tersebut adalah salah di sisi undang-undang kerana mengikut Seksyen 97 dan 98 Kanun Tanah Negara, entiti lain iaitu Yayasan Melaka boleh membuat pembayaran bagi pihak PYBK.
''Untuk tanah yang dilucut hak, mahkamah juga berpendapat keputusan Pentadbir Tanah itu adalah salah dan tanah tersebut perlu dikembalikan kepada YBK,'' kata beliau.
Isu melibatkan tanah YBK bermula dengan keengganan kerajaan negeri Selangor meluluskan projek kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Serendah sehingga keputusan terpaksa diambil untuk memindahkan projek tersebut ke Semujuk, Melaka.
Ini diikuti dengan tindakan memulangkan bayaran cukai tanah YBK berjumlah RM5.7 juta yang sebahagiannya dilunaskan dengan bantuan Yayasan Melaka dan tindakan merampas tanah berkenaan atas alasan pihak luar tidak boleh membuat bayaran bagi pihak YBK.

Pada 25 Mac 2010, PYBK turut menyaman kerajaan negeri Selangor dan dua lagi bagi menuntut ganti rugi RM73.8 juta kerana didakwa menyalah guna kuasa berhubung pembinaan kampus UiTM di Serendah.
PYBK selaku plaintif menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor dan kerajaan negeri Selangor sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Pada 23 April 2010, YBK mengemukakan saman terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco kerajaan negeri Selangor, Yaakob Sapari untuk menuntut ganti rugi setelah didakwa memfitnah yayasan itu dalam satu kenyataan media pada Februari tahun yang sama.
Dalam saman tersebut, YBK selaku plaintif pertama manakala PYBK dan pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom sebagai plaintif kedua dan ketiga.

No comments:

Post a Comment

Member BSK