Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan bekas
Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, yang Selasa lalu memberi
peringatan agar tidak mengejar kuasa semata-mata, sebagai pemimpin
‘lidah panjang’ ekoran pendirian kebelakangan ini yang tidak selari
dengan parti.
Kenyataan tegas Nik Aziz itu dikeluarkan ekoran tindakan Nasharudin,
yang juga Ahli Majlis Syura Pas, mahu merencanakan perpaduan terutamanya
melibatkan Umno dan Pas.
“(Rancangan perpaduan) itu mengarut, mengapa sekarang baru timbul, dia
(Nasharudin) itu calon Pas di Bachok, sikap itu seperti 'lidah
panjang',” kata beliau ketika ditemui selepas Majlis Hari Keluarga
Mawaddah di Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Pendirian Nasharudin yang mengkritik kerjasama Pas dan DAP tidak
disenangi Nik Aziz yang pernah memberi kata dua kepadanya supaya
melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok pada 2009.
Sebelum ini, Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Nasharudin Mat Isa telah "menyentuh dan mencabar" keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.
Sambil menekankan kuasa dan Islam tidak boleh dipisahkan, kata Mahfuz,
Pas memang memerlukan kuasa yang meluas untuk menegakkan Islam di negara
ini.
Katanya, aspek itu yang diputuskan oleh Majlis Syura selaku badan tertinggi membuat keputusan dalam Pas.
"Jadi, apabila Ustaz mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau
telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan
berkata, beliau terharu dengan sokongan masyarakat bukan Islam di
Kelantan yang menyokong pembinaan Lebuh Raya Rakyat dengan menghulurkan
derma.
“Wat Buddha sanggup mengadakan majlis untuk memungut derma dan mereka
menyerahkan lebih RM65,000 untuk membangunkan lebuh raya ini, walaupun
miskin tetapi memberi sokongan yang kuat kepada Kerajaan Negeri,”
katanya.
Sehubungan dengan itu katanya, beliau akan terus bekerjasama dengan
masyarakat bukan Islam dan mengunjungi wat walaupun mendapat kritikan
pihak tertentu yang tidak memahami asas perjuangan Islam.
“Saya sentiasa berkunjung ke wat dengan menghadiri pelbagai acara yang
dibenarkan, (Islam) saya tahu yang mana tidak boleh dan yang mana
boleh.
"Saya juga ke sana menyebarkan Islam dengan menyatakan apa yang betul dan apa yang salah,” katanya.
No comments:
Post a Comment