Jumlah Pengunjung

Wednesday, 24 October 2012

ZULFAHMI KEKAL PRINSIP TIDAK SAMBUT KEMENANGAN DENGAN ARAK !!!



Tindakan pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin mengelak tradisi sambutan kemenangan podium dengan minuman keras pada upacara penyampaian hadiah Grand Prix Malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang, Ahad lalu mendapat pujian ribuan penyokong tempatan. Video yang memaparkan pelumba AirAsia-SIC-Ajo itu melarikan diri ketika minuman keras tersebut diserahkan kepada ketiga-tiga pemenang GP Malaysia sempat dirakam penyokong tempatan yang telah memuat turunkan ke dalam laman sosial, YouTube.
Tindakan anak muda kelahiran Banting, Selangor itu mengundang rasa hormat para peminat terhadap pelumba tersebut yang berani menyatakan pendiriannya lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan soal agama Islam.
Zulfahmi ketika dihubungi Utusan Malaysia, kelmarin berkata, sebagai seorang Islam, memang menjadi tanggungjawabnya untuk menolak sebarang perbuatan yang bercanggah dengan agama.
"Saya sebenarnya terlebih dahulu telah memaklumkan kepada pihak penganjur mengenai pendirian saya itu. Memang masa saya berada di atas podium, saya cuba mengelak apabila Sandro (Cortese) cuba menyemburkan arak ke arah saya. Ramai pelumba tidak memahami, tetapi apabila saya jelaskan, mereka akhirnya faham termasuk Sandro," katanya.
Zulfahmi memberitahu, meraikan kemenangan dengan menyembur minuman keras merupakan tradisi masyarakat barat dan orang Islam tidak seharusnya terikut-ikut atau meniru cara tersebut.
"Kita ada cara kita untuk meraikan kejayaan, bukan terikut-ikut cara mereka pula. Saya hargai pujian tersebut, tetapi bagi saya tindakan saya itu adalah normal kerana saya beragama Islam dan sewajarnya saya bertindak demikian kerana menyalahi hukum agama kita," tegasnya.
Pelumba yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 Sabtu lalu, melakar sejarah buat negara apabila muncul anak Malaysia pertama berjaya menaiki podium pada GP Malaysia 2012, Ahad lepas.
Dia diberi tentangan sengit apabila dipintas di garisan penamat oleh juara dunia Moto3 yang baru, Sandro Cortese untuk muncul naib juara pada saingan tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pencapaian pada GP Malaysia yang berjaya menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengucapkan tahniah kepadanya, Zulfahmi melahirkan rasa terkejut apabila kejayaannya di Sepang turut menarik perhatian pemimpin tertinggi negara.
"Saya tidak sangka Perdana Menteri tahu mengenai kejayaan saya ini, terima kasih kepada beliau. Saya harap kejayaan ini bukan yang pertama dan terakhir," katanya yang berangkat ke Australia, kelmarin untuk menyertai GP Australia di Litar Phillip Island hujung minggu ini.
Ketika diajukan dengan soalan yang lebih peribadi mengenai teman istimewa, Zulfahmi tidak menafikan yang dia sedang mengenali hati budi seseorang, tetapi hubungan tersebut masih di peringkat awal.
"Dia masih lagi belajar, saya pula jarang berada di Malaysia. Lagipun, kami cuma berkawan tidak ada yang lebih daripada itu. Saya baru berusia 21 tahun, perjalanan saya masih jauh," ujarnya.



No comments:

Post a Comment

Member BSK