PHILLIP ISLAND - Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin
bangkit pada saat akhir pusingan kelayakan, semalam untuk catatan lima
terpantas bagi menempah barisan kedua perlumbaan Grand Prix Australia
hari ini.
Litar Phillip Island terus menguji kecekalan pelumba berusia 21 tahun
itu selepas motosikalnya berdepan bermasalah ketika terikat pada
kedudukan 17.
Enam belas minit sebelum berakhir sesi kelayakan selama 40 minit,
bendera amaran hujan dikibar dan harapan seolah-olah tertutup
sehinggalah 10 lagi menjelang tamat sesi itu, apabila semua penunggang
termasuk Zulfahmi kembali beraksi untuk memperbaiki catatan masa
masing-masing.
Pelumba AirAsia SIC Ajo Racing Team itu yang menduduki tempat ke-27
tahun lepas dalam kelas 125cc, kembali memecut selepas jenteranya yang
berkuasa 250cc diberi sentuhan baru oleh para mekanik pasukan.
Dari kedudukan tangga ke-17, Zulfahmi meningkat ke tangga kesembilan dan meneruskan pecutannya untuk satu lagi lap terakhir.
Dalam sesi kelayakan semalam, Sandro Cortese mencatat masa terpantas
satu minit 38.334 saat manakala Zulfahmi mencatat 1.39.229s.
Dia akan memulakan perlumbaan hari ini di barisan kedua bersama Danny
Kent dan Miguel Olivera yang masing-masing menempah petak keempat dan
keenam.
Sementara Cortese yang baharu sahaja dinobatkan selaku juara dunia
kategori Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang dan pemenang kelas 125cc
tahun lalu akan menyertai rakan senegara dari Jerman, Jonas Folger yang
mencatat 1.38.727s dan pelumba Sepanyol, Efren Vasquez ketiga terpantas
dengan catatan 1.39.179s.
Mengulas persembahan Zulfahmi, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk
Razlan Razali berkata, pelumba itu berjaya mengawal keadaan dengan baik
sekalipun berdepan dengan masalah.
"Ini membuktikan dia memiliki kualiti pelumba yang baik. Dia
menunjukkan kematangan ketika berdepan situasi cemas dan masih memiliki
semangat berjuang yang tinggi untuk bangkit mencari kedudukan terbaik
walaupun ketinggalan pada awalnya.
"Posisi kelima membolehkan dia bersaing dengan kelompok utama. Apa
yang diperlukannya sekarang adalah menyusun strategi yang baik untuk
mendapatkan keputusan terbaik. Peluang menaiki podium tidak mustahil
jika strateginya tepat, seperti yang dilakukannya di Sepang," kata
Razlan.
Dengan GP Australia dan GP Valencia yang masih tinggal, Zulfahmi setakat ini mengumpul 112 mata.
No comments:
Post a Comment